PETALING JAYA – Setelah sekian lama mendiamkan diri ekoran terpalit kontroversi melanggar kontrak, seorang ‘influencer’ media sosial akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar.
‘Influencer’ yang dikenali dengan tagline ‘beep beep’, Liana mendakwa, dia mengambil masa yang lama untuk memberikan penjelasan kerana atas nasihat peguam yang memintanya untuk tidak menceritakan situasi sebenar sehinggalah ia selesai.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak syarikat kerana memberikan saya peluang untuk bekerja bersama dan mereka juga sangat baik kepada saya. Bahkan, pemilik syarikat turut menawarkan gaji berjumlah RM20,000 sebulan bagi menandatangani kontrak jangka masa panjang selama lima tahun bersama mereka.
“Meskipun begitu, saya mempunyai alasan peribadi yang menyebabkan saya memutuskan untuk menamatkan kontrak dengan notis berhenti selama dua bulan yang akan tamat pada 19 Disember ini,” dakwa Liana.
Dakwanya lagi, tindakannya dalam siaran langsung menerusi akaun TikTok peribadinya adalah berpunca daripada pihak syarikat yang tidak memaklumkannya atas segala perubahan yang berlaku di akaun TikTok syarikat tersebut.
“Kalian (netizen) perlu faham bahawa sepanjang masa saya bersama dengan syarikat, saya adalah terikat dengan kontrak dan tidak dibenarkan menganggap saya berada dalam kontrak, tetapi sebaliknya perlu berpura-pura seakan akaun syarikat itu adalah milik saya,” dakwanya.
Tambahnya, akaun TikTok tersebut adalah dilog masuk menggunakan nombor miliknya dan dia merupakan individu yang selalu membalas komen, menjadualkan hantaran dan kadangkala akan memuat naik video-video berkenaan.
“Apabila terlalu banyak menerima mesej langsung (direct message) daripada kalian yang mengatakan tidak dapat mencari video dan akaun tersebut, maka saya perlu mencari sebab apa sebenarnya yang berlaku dengan akaun tersebut.
“Jika tidak, saya yang akan dipersalahkan kelak dan itulah yang berlaku semasa siaran langsung tempoh hari,” jelasnya.
Liana turut mendakwa tindakan drastik daripada pihak syarikat berkenaan telah menyebabkan dia dan keluarganya menerima kecaman yang hebat.
“Saya menyerahkan segalanya kepada undang-undang,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE