PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita akhirnya diberkas selepas tular video kejadian tersebut di Twitter, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu sekitar pukul 8.17 malam, semalam.
Katanya, laporan tersebut dibuat seorang wanita tempatan yang telah menerima gangguan seksual dari seorang lelaki yang tidak dikenali.
“Dalam pada itu, siasatan pihak polis turut mengesan satu video berdurasi 14 saat yang mempunyai kaitan dengan laporan tersebut telah tular di media sosial.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya memberkas seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut, petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran penangkapan sekitar pukul 5 petang itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, esok.
Menurut Ku Mashariman, kes disiasat dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Semalam, tular di media sosial beberapa klip video seorang wanita merekodkan seorang lelaki yang telah menganggunya secara seksual.
Kejadian tersebut dipercayai terjadi di Ara Damansara, di sini, kelmarin. -KOSMO! ONLINE.