WASHINGTON – Kematian akibat senjata api yang kini disifatkan sebagai epidemik di Amerika Syarikat (AS) kerana meragut lebih 100 nyawa setiap hari melonjak ke angka tertinggi dalam tempoh 28 tahun, demikian menurut satu kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Network Open.
Menurut laporan agensi berita United Press International kelmarin, kadar kematian tersebut meningkat sebanyak 45.5 peratus dari 2004 hingga 2021.
Secara keseluruhan, kadar kematian akibat senjata api bagi setiap 100,000 orang pada 2004 adalah 10.1 sebelum meningkat kepada 14.7 kematian pada tahun lepas, kata penyelidik.
Siasatan asal turut mendapati terdapat perbezaan ketara bagi kadar kematian antara gender, kaum dan kumpulan etnik dalam beberapa dekad lalu.
Kajian tersebut diketuai oleh pakar Perubatan Kecemasan Pediatrik di Fakulti Perubatan Universiti Emory di Atlanta, Dr. Chris A. Rees dengan menggunakan data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan penyakit (CDC) dari tahun 1990 hingga 2021.
Pada tahun lepas, sebanyak 48,953 kematian akibat senjata api direkodkan di AS, yang merupakan statistik tertinggi sejak CDC mula merekodkan data tersebut pada 1981.
Daripada 1,110,421 kematian akibat faktor serupa yang direkodkan sepanjang tempoh kajian dijalankan, 85.8 peratus terdiri daripada mangsa lelaki manakala 14.2 peratus lagi ialah perempuan.
Golongan kulit putih merangkumi 60.5 peratus daripada statistik kematian dan diikuti dengan golongan berkulit hitam sebanyak 25.8 peratus dan penduduk berketurunan Sepanyol sebanyak 10.4 peratus.
Kadar pembunuhan paling tinggi adalah dalam kalangan lelaki berkulit hitam yang berusia 20 hingga 24 tahun iaitu sebanyak 182.7 kematian bagi setiap 100,000 orang pada 1993.
Angka itu bagaimanapun berkurang kepada 81.4 kematian pada 2014 sebelum kembali melonjak kepada 141.8 kematian bagi setiap 100,000 orang tahun lalu.
Sementara itu, kawasan bandar mencatatkan kadar pembunuhan lebih tinggi berbanding pinggir bandar, manakala kematian di peringkat daerah turut meningkat sepanjang tempoh masa tersebut.
“Penemuan ini mencadangkan bahawa pendekatan kesihatan awam sebagai kaedah untuk mengurangkan insiden keganasan senjata api perlu turut mempertimbangkan trend demografi dan geografi serta perbezaan dari segi punca pembunuhan,” kata penyelidik. – Agensi