PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan bermula hari ini sehingga 7 Disember depan.
MetMalaysia menerusi kenyataannya berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, angin timuran kencang dijangka tertumpu di kawasan timur negeri Sabah, Pantai Timur dan utara Semenanjung sehingga Isnin depan.
Tambahnya, keadaan ini seterusnya berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kawasan-kawasan yang terbabit.
“Pada masa sama, satu sistem cuaca tekanan rendah dijangka terbentuk di perairan Laut China Selatan pada hari esok dan diramal bergerak ke barat merentasi sempadan Malaysia-Thailand menuju ke Laut Andaman selama dua hari bermula 3 Disember ini.
“Susulan itu, MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan bahagian timur Sabah, bahagian Pantai Timur dan utara Semenanjung dalam tempoh empat hari bermula hari ini,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Rentetan itu, orang awam adalah disarankan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE