HAMPIR seminggu kerajaan baharu ditubuhkan, tumpuan rakyat kini beralih ke arah perancangan kerajaan dalam usaha membantu membela nasib rakyat.
Rata-ratanya dilihat berharap agar kerajaan mengambil serius isu kos sara hidup melibatkan semua golongan tidak kira dari B40, M40 mahupun T20.
Tinjauan di media sosial mendapati, rakyat tanpa berselindung menyuarakan kebimbangan atau cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam keadaan ekonomi sekarang.
Orang ramai juga dilihat mengharapkan perkara berkenaan menjadi perhatian utama kerajaan tidak kira daripada parti mana sekalipun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga menyatakan komitmen sebaik sahaja menggalas tugas itu untuk mengutamakan isu kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini.
Katanya, walaupun kekuatan ringgit serta Bursa Saham menunjukkan perkembangan positif berikutan pembentukan kerajaan baharu kini, pihaknya tetap mahu memfokus kepada aspek kos sara hidup dan mencari jalan penyelesaian.
“Keutamaan saya sekarang ialah kos sara hidup walaupun ada yang positif, umpamanya kekuatan ringgit dan soal Bursa Saham yang lebih positif, sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap pentadbiran sekarang.
“Namun, saya masih berasa keutamaan harus diberikan terhadap kos sara hidup dan harga barangan yang mencengkam serta menekan kehidupan rakyat,” kata Anwar.
Susulan itu juga katanya, subsidi bersasar mungkin dilaksanakan dan menjadi tumpuan susulan tempoh dua minggu yang diberikan oleh Anwar kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji dan melihat implikasi berkaitan pemberian subsidi agar ia lebih bersasar.
Beliau turut menegaskan, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi, Profesor Madya Dr. Mohd. Yusof Saari dalam satu wawancara berkata, kementerian terlibat perlu tampil dengan cadangan lebih holistik dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Katanya, usaha pengurangan kos sara hidup perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya fokus kepada satu perkara sahaja iaitu subsidi.
“Seperti sedia maklum pada tahun lalu subsidi meningkat akibat kenaikan harga yang berlaku serta inflasi pada ekonomi negara pada tahun lalu.
“Kita tidak mahu isu kos sara hidup ini saban tahun dibincangkan hanya menyentuh sebahagian kecil sahaja, tidak menyentuh secara keseluruhannya. Persoalan penting yang perlu dititik beratkan adakah apabila dikurangkan subsidi dan laksana subsidi bersasar itu akan mengurangkan kos sara hidup?” katanya.
Jelasnya, dari satu sudut, memang baik subsidi bersasar dilaksanakan bagi memastikan hanya golongan yang sepatutnya mendapat subsidi itu.
“Oleh itu, apabila melaksanakan subsidi bersasar ini, kerajaan perlu melihat program-program yang bagaimana akan dikenalkan.
“Lihat semula keberkesanan program yang lepas, apakah yang perlu dilakukan? Program subsidi mana yang boleh ditambah baik?
“Dalam masa sama, jangan terlupa perkara besar yang perlu dibuat ialah perubahan struktur. Itu yang paling besar sekiranya mahu mengurangkan kos sara hidup termasuklah mengubah struktur pasaran,” ujarnya.