LONDON – Sejenis pokok kaktus dikenali sebagai Epiphyllum Oxypetalum menjadi terkenal kerana bunga putihnya yang besar dan wangi hanya mekar selama satu malam, lapor portal berita Oddity Central pada Rabu lalu.
Ia juga mempunyai nama samaran sebagai ratu malam tetapi bunganya hanya mekar selama satu malam dan beberapa jam dalam tempoh setahun, menyebabkan ramai peminat bunga memasuki hutan di Mexico, Amerika Tengah dan Antilles bagi menyaksikan sendiri fenomena itu.
Menurut laman berita Oddity Central, bunganya mekar ketika waktu malam pada musim bunga atau musim panas.
Bagaimanapun, ada pihak mengatakan ia berlaku pada waktu malam ketika bulan purnama atau sekitar waktu sebegitu, manakala pihak lain menyatakan bunga tersebut akan mekar selepas berlakunya hujan lebat iaitu di lokasi pokok itu tumbuh.
Menambah daya tarikan dan reputasi ratu malam, bunga berlilin bersaiz besar itu dikatakan antara yang paling harum di dunia namun malangnya, ia hanya berlaku selama satu atau dua jam sahaja.
Bau yang dikeluarkan oleh bunga itu sering dibandingkan dengan bau bunga magnolia.
Bagaimanapun, para saintis masih belum mengetahui mengapakah bunga pokok kaktus itu hanya berlaku pada waktu satu malam dalam tempoh setahun. – Agensi