PETALING JAYA – Seorang bapa yang berwajah awet muda dan mempunyai tubuh badan seperti remaja, disangka ‘kekasih’ anaknya walaupun hakikatnya sudah mempunyai enam orang anak.
Mohd. Rizan Haron, 48, yang bekerja sebagai penghulu mukim, kelihatan muda dan tampan bergaya berbaju melayu hitam di dalam satu gambar yang dimuat naik di akaun Twitter anaknya, Balqis Najwa Mohd. Rizan, 23.
Balqis yang merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik, berkata, sejak dari bangku sekolah menengah lagi, ramai yang salah anggap bapanya sebagai kekasih.
“Masa saya sekolah menengah, waktu itu ayah berumur 30-an, dia selalu jemput saya dan bawa saya ke gerai makan. Bila kawan-kawan ternampak, jadi bualan hangat antara mereka bahawa saya keluar makan dengan kekasih.
“Sampaikan sudah masuk universiti, ayah hantar balik hostel, pernah kawan-kawan tersalah anggap yang ayah itu adalah pakcik lah, adik lah, abang saya lah, sebab mukanya kelihatan muda,” kata Balqis ketika dihubungi Kosmo!
Apabila bertanya tentang rahsia awet muda bapanya, Balqis berkata sejak muda ayahnya memang gemar bersukan, tidak pernah tinggal makan sayur-sayuran dan kurang makan makanan segera menyebabkan dirinya tampak muda dari umurnya.
Jelasnya lagi, antara aktiviti sukan yang dilakukan ayahnya adalah badminton, berbasikal, dan bola keranjang, disamping sering pergi ke gim untuk bersenam.
“Selain gemar bersukan, ayah memang dari muda suka makan sayur dan tidak boleh kalau tiada sayur dalam satu hidangan makanan, mesti wajib ada.
“Makanan segera pun sangat-sangat kurang dia ambil, kalau sebulan itu hanya sekali sahaja, sebab itu juga dia nampak lebih muda berbanding umur sekarang,” kata Balqis lagi.
Sehingga kini, gambar yang dimuat naik oleh pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Syariah) pada hari graduasinya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah meraih 2,241 perkongsian dan 8,982 tanda suka.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai tidak percaya Mohd. Rizan berumur 48 tahun kerana tampak sungguh muda dan bergaya seakan-akan remaja berumur 20-an.
“Betul- betul ke ayah sis.. memang susah nak percaya. Sebab dia memang muka macam budak-budak muda zaman sekarang,” ciap seorang netizen.
“Kongsi sikit tips, tidak nampak macam 40-an langsung. Badan ayah pun macam budak-budak muda, salute lah!,” ciap netizen yang lain pula. – KOSMO! ONLINE