SEBERANG PERAI – Seorang pemuda merayu bantuan untuk membeli kaki palsu bernilai RM4,000 selepas salah satu anggota badannya itu terpaksa dipotong akibat diabetes kronik yang dihidapinya sejak pertengahan tahun lalu.
Mohd. Zulyadain Mohamad Radzi, 38, dari Kampung Jarak Atas dekat Tasek Gelugor di sini berkata, rutin hariannya kini berubah secara keseluruhan dan sedang membiasakan diri dengan kehidupan baharu selepas kaki kanannya itu dipotong.
Katanya, sebelum kakinya dipotong, dia bekerja di sebuah kilang dekat Bayan lepas di George Town.
“Namun, saya kemudian disahkan menghidap kencing manis dan doktor menyarankan supaya kaki kanan saya dipotong sehingga paras pangkal paha bagi mengelakkan risiko lebih besar.
“Saya mempunyai tujuh beradik tetapi ibu bapa sudah meninggal dunia. Sekarang saya dijaga oleh rakan serumah, Mohd. Hanif Othman, 33, yang sanggup berhenti kerja untuk menguruskan saya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Zulyadain, dia terharu dengan pengorbanan rakan baiknya itu yang kini bekerja mengambil upah harian di sekitar kampung demi menjaga saya.
Tambahnya, adik-beradiknya ada datang dan menghulurkan bantuan setiap kali datang melawat.
“Saya tidak memaksa kerana mereka pun ada keluarga sendiri. Lagipun mereka bukan orang senang,” kata anak keempat itu.
Ujar Mohd. Zulyadain, setakat ini dia ada menerima bantuan RM600 secara sekali bayar daripada Zakat Pulau Pinang dan dalam proses untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pertubuhan Keselamatan Sosial.
“Jika ada kaki palsu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan terhadap Mohd. Hanif kerana dia tidak perlu kerap berada di rumah untuk menjaga saya dan boleh fokus kepada kerjanya,” katanya.
Lelaki itu menambah, wang simpanannya semakin susut kerana perlu menampung keperluan harian termasuk bekalan ubat-ubatan.
Sementara itu, Mohd. Hanif pula memberitahu, sudah menjadi tanggungjawabnya menjaga kebajikan rakannya itu atas dasar peri kemanusiaan meskipun perkenalan di antara mereka baru mencecah tiga tahun dan tiada pertalian darah.
“Saya akan menjaganya semampu mungkin. Tiada timbul rasa kesal kerana buat masa ini dia dalam kesusahan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB milik Mohd. Zulyadain 7638522530 atau hubungi Mohd. Hanif di talian 016-344 0453.