fbpx

APMM Kelantan rampas rokok seludup Hong Kong bernilai lebih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Nor Adli (tengah) menunjukkan rokok seludup dipercayai dari Hong Kong yang dirampas di tebing Sungai Tambun, Tumpat kelmarin. - Foto TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Cubaan sindiket penyeludupan untuk membawa masuk rokok seludup dipercayai dari Hong Kong bernilai RM1.04 juta gagal apabila kegiatan mereka berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di kawasan tebing Sungai Tambun, Tumpat dekat sini kelmarin.

Kesemua rokok-rokok tersebut dirampas menerusi Ops Khas yang dijalankan di kawasan perairan Tumpat kira-kira pukul 3.30 pagi hingga pukul 6.10 pagi.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, semasa anggota APMM menjalankan rondaan, pihaknya mendapati sebuah bot pancung berkuasa kuda tinggi dikendalikan dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan menuju ke kawasan muara perairan Tumpat.

Menurutnya, bot berkenaan kemudian dilihat memasuki kawasan alur Sungai Tambun yang cetek sebelum ia hilang dan gagal dikesan.

“Anggota APPM terus menjalankan siasatan di kawasan tebing sungai sebelum menemui dua lori yang ditinggalkan tanpa pemandu. Pemeriksaan pada lori pertama menjumpai sebanyak 70 kotak yang berisi rokok seludup manakala lori kedua mengandungi 30 kotak barangan sama.

“Siasatan mendapati, dua lelaki yang menaiki bot pancung itu telah memindahkan rokok-rokok tersebut ke dalam lori berkenaan sebelum mereka melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.

Menurut Syed Nor Adli, berdasarkan pemeriksaan, rokok-rokok sebanyak lebih satu juta batang yang bernilai RM1.04 juta termasuk cukai itu didapati dihasilkan di Hong Kong dan mungkin akan dijual ke beberapa negeri.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan rokok-rokok itu diseludup menggunakan bot-bot besar di tengah laut sebelum ia dipindahkan ke bot pancung dan dibawa ke kawasan tebing Sungai Tambun.

“Sindiket penyeludupan itu menjalankan kerja-kerja memunggah rokok dari bot ke lori pada waktu awal pagi bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Rokok-rokok tersebut dipercayai tidak dijual di Kelantan dan ia mungkin mendapat permintaan di negeri lain,” katanya.

Tambah Syed Nor Adli, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung rampasan itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI