KUALA TERENGGANU – Gara-gara memiliki dadah jenis methamphetamine, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Afiq Nasrullah Che Man, 22, yang merupakan tukang kayu juga dikenakan hukuman 10 kali sebatan.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan demikian selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan berkenaan.
Sebelum ini, Muhammad Afiq Nasrullah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1959 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 52.53 gram.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kampung Pantai, Batu Rakit, Kuala Nerus pada pukul 1 petang, 30 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga seumur hidup serta minimum 10 kali sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE