ISLAMABAD – Tiga orang terbunuh manakala 23 lagi cedera apabila seorang pengebom bunuh diri menyasarkan sebuah trak polis di barat Pakistan, lapor seorang pegawai mengenai serangan yang didakwa dilakukan oleh Taliban.
Taliban Pakistan atau Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) adalah entiti berasingan daripada Taliban di Afghanistan tetapi berkongsi ideologi yang sama.
Pada Isnin lalu, kumpulan itu mengumumkan penamatan gencatan senjata dengan Islamabad semasa musim panas dan mengarahkan serangan diteruskan di seluruh negara.
Pegawai kanan polis, Azhar Mehesar memberitahu agensi berita AFP bahawa letupan itu menyasarkan pasukan polis yang bersiap sedia untuk mengiringi bekalan vaksin polio di bandar Quetta.
Antara yang terbunuh termasuk anggota polis, seorang wanita dan seorang kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan kepada AFP, TTP mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan berkata pihaknya akan berkongsi butiran lanjut tidak lama lagi.
Pasukan vaksinasi polio secara rutin dikawal oleh polis di wilayah barat, dan TTP telah menyerang hendap pegawai semasa mereka pergi ke kawasan terpencil yang bergolak itu.
Kumpulan itu diasaskan pada 2007 oleh ahli Pakistan yang berjuang bersama Taliban di Afghanistan pada 1990-an sebelum menentang sokongan Islamabad terhadap campur tangan Amerika Syarikat di negara itu selepas serangan 9/11. – AFP