fbpx

Suka menyendiri, rajin baca al-Quran petanda ajal remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kereta Proton Wira yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan Mohd. Haziq (gambar kecil) dan dua lagi rakannya di Kilometer 15, Jalan Kluang-Teck Wah Heng di Kluang kelmarin.

KLUANG – Mangsa nahas yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 15, Jalan Kluang-Teck Wah Heng di sini kelmarin me­nunjukkan perubahan sikap seolah-olah tahu dia akan pergi selama-lamanya.

Perkara itu dimaklumkan bapa mangsa, Mohd. Faizal Amar, 50, yang memberitahu arwah Mohd. Haziq Haikal, 20, lebih banyak menyendiri di dalam bilik di rumah sewanya di Kluang sejak sebulan lalu.

Sebelum ini, anak tunggal itu seorang yang ceria dan banyak bercakap dengan rakan-rakan serumahnya.

“Saya mendapat tahu kejadian yang menimpa arwah anak pada pukul 6.30 petang (kelmarin) selepas kawannya datang beritahu. Memang terkejut, kemudian saya bertolak ke Kluang dari Pontian.

“Rakan-rakan serumahnya beritahu dalam masa sebulan ini dia (arwah Mohd. Haziq) ba­nyak berkurung dalam bilik. Dia mendirikan solat dan membaca al-Quran. Antara permintaan terakhir arwah adalah tolong bayarkan sewa rumahnya pada bulan lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut pegawai perkhidmatan pe­langgan sebuah syarikat berkaitan kerajaan itu, arwah anaknya bekerja sebagai tukang gunting rambut dan menyewa di Kluang.

Bercerita lanjut, Mohd. Faizal memberitahu, ketika kejadian, arwah anaknya dan tiga lagi rakan dalam perjalanan ke Stadium Sultan Iskandar, Iskandar Puteri untuk menonton perlawanan siri jelajah Borussia Dortmund dan Johor Darul Takzim (JDT).

“Saya dimaklumkan mereka mendapat lima keping tiket untuk menonton bola sepak. Mereka pergi berempat kerana seorang lagi rakan tidak dapat ikut serta,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 4.29 petang kelmarin, Mohd. Haziq dan dua rakannya maut, manakala seorang lagi cedera selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah van di Kilometer 15, Jalan Kluang-Teck Wah Heng.

Dua lagi mangsa yang maut ialah Muhammad Khairil Rosli, 17, dan Ariffudin Khairum Ab. Ghafar, 21. Muhammad Haziq Kamarul Azhar, 17, pula cedera.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, Mohd. Haziq dan Muhammad Khairil maut di lokasi kejadian akibat tersepit.

Kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira dinaiki empat sekawan itu bertembung dengan van dari arah bertentangan. Empat beranak yang menaiki van tersebut turut cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI