PETALING JAYA – Jika anda seorang yang meminati siri Drama Spontan yang telah diarahkan oleh pengarah muda berasal dari Kelantan, Syahmi Sazli pasti sahaja mengenali watak baharu yang dikenali sebagai Samer.
Syahmi telah berjaya menampilkan watak terbaharu itu dalam beberapa video di Facebooknya turut mendapat perhatian ramai.
Sudah memiliki 14 episod, ternyata Samer mempunyai karektornya yang tersendiri apabila suka menjual pelbagai barangan termasuk haiwan peliharan kepada Syahmi.
Samer dikatakan seorang yang lurus bendul suka menawarkan pelbagai barangan termasuk haiwan peliharaan seperti burung, ayam serta arnab kepada Syahmi.
Gelagat ketika menawarkan barang-barang tersebut membuatkan Samer semakin popular kerana keyakinannya sehingga berjaya menjual barang-barang terbabit.
Ternyata, lelaki yang mempunyai karektor seorang lelaki lurus sudah semakin popular di negeri Pantai Timur itu sehingga perkataan ‘sejuk’ yang selalu diucapkan kini menjadi tular.
“Kalau dikira harga barang yang dia (Samer) jual kepada Syahmi lebih RM1,000 dah, baik Syami suka melayan,” kata seorang netizen.
Jelasnya, gaya percakapan Samer menjual barang membuatkan ramai mahu beli.
Terdahulu, Syahmi pernah memaparkan tiga watak terkenal iaitu Yoe Pare, Asif serta Bedo. Ketiga-tiga watak ini ternyata sudah berada di tahap mereka tersendiri.
Malah, Asif juga telah memenangi anugerah Artis Komedi Lelaki Popular yang mengalahkan nama-nama besar lain dalam industri seni beberapa tahun lalu.
Kehebatan Syahmi dalam menghasilkan watak-watak bagi mengisi video terbitannya sememangnya boleh dipuji apabila penampilan watak-watak tersebut boleh diterima ramai.
Antaranya watak seorang lelaki warga emas yang dikenali sebagai Pok Tar kini turut menjadi sebutan orang ramai kerana kebiasaan watak orang tua lakonannya.- KOSMO! ONLINE.