“SELAMA 12 tahun saya menanti untuk tampil dalam sebuah konsert solo di sini.”
Itu antara ungkapan penyanyi Raisa pada konsert solonya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.
Muncul di pentas menerusi lagu Cinta Sederhana, dan Could It Be, Raisa tampil anggun pada malam tersebut dengan menggayakan korset hitam dan dilengkapkan dengan padanan jaket berwarna merah.
Baru muncul dengan sebuah lagu, Raisa membuatkan penonton terpana dengan kehebatan vokal yang usah dipertikaikan malah tidak hairanlah sekiranya dilabel sebagai pemilik suara emas.
Usai segmen pertama, Raisa meneruskan persembahan dengan lagu yang meledakkan namanya di persada seni suara iaitu Serba Salah.
“Selama berbelas tahun saya menanti untuk bertemu dengan peminat di Malaysia yang selalu menyokong karier saya.
“Akhirnya Tuhan makbulkan dan saya berdiri di hadapan anda semua, rasa bangga dan gembira yang tidak boleh saya ungkapkan,” katanya seraya tersenyum lebar kepada lebih 2,000 penonton.
Malah, dia juga berharap diberi peluang lagi untuk kembali ke Malaysia pada satu acara yang berskala besar.
“Jangan tunggu berbelas tahun lagi untuk jemput saya ke sini. Semoga kita bertemu kembali pada tempoh yang dekat,” pinta penyanyi berusia 32 tahun itu.
Kemampuannya dalam menyampaikan lagu bernada tinggi memang sudah diketahui umum sejak bergelar penyanyi dan berjaya dilakukan dengan cemerlang dalam setiap nyanyiannya.
Satu hal yang menarik tentang nyanyian pemilik nama penuh Raisa Andriana itu adalah kebolehan melunaskan nada rendah dengan baik.
Jangan Cepat Berlalu, lagu yang didedikasikan untuk anaknya, Zalina Raine Wyllie yang kini berusia tiga tahun.
Dia berjaya melarutkan emosi dan membawa penonton menjiwai rasa indah bergelar seorang ibu.
“Lagu ini diciptakan sebagai memori untuk pengalaman bergelar seorang ibu sejak tiga tahun lalu.
“Semua momen itu sangat indah dan pernah berasa supaya semua masa manis ini tidak cepat berlalu. Terima kasih buat Zalina untuk memori ini,” ujarnya.
Menerusi acara sama, lagu-lagunya seperti Bertahan atau Pergi Yang Teristimewa, Tentang Dirimu, LDR, Nyawa dan Harapan turut didendangkan buat peminat tercinta.
Lagu galau
Memasuki segmen kedua iaitu satu jam sebelum konsert berakhir, Raisa muncul di pentas dengan persalinan dres sendat berwarna biru yang dilengkapkan dengan korset hitam.
Segmen kegemaran ramai menurut Raisa, dia akan mendendangkan semua koleksi lagu ‘galau’ (sedih) popular miliknya.
Memulakan persembahan dengan lagu Mantan Terindah, Zepp KL sekali lagi bergema dengan nyanyian bersama para penonton.
Kemudian, Raisa sukses membuatkan jiwa berbunga-bunga menerusi Jatuh Hati sebelum merobek hati penonton dengan lagu popular miliknya berjudul Usai Di Sini dan Apalah (Arti Menunggu).
Paling dinanti-nanti ramai dan penutup konsert, Raisa melunaskan janji dengan mendendangkan Kali Kedua iaitu antara yang membuatkan dia dikenali dalam kalangan peminat di sini.
Emosinya menusuk kalbu. Itu antara disuarakan beberapa penonton yang hadir.
“Terima kasih Malaysia, sampai kita bertemu lagi,” jeritnya usai persembahan.
Ternyata, kehadiran Raisa berjaya membasuh rindu peminat yang sudah sekian lama menyimpan hasrat menyaksikan persembahan secara langsung di Malaysia.