BEREGU lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah menggalas misi besar menjelang Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 7 hingga 11 Disember.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berharap, anak-anak buahnya mampu menampilkan aksi terbaik dan tidak tersingkir awal pada kejohanan yang menghimpunkan pemain-pemain terbaik dunia itu.
Justeru, beliau menggesa Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah supaya tidak berfikir terlalu jauh, selain meminta mereka untuk memberi sepenuh perhatian bagi melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, beliau percaya, Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah berpeluang untuk meraih gelaran berdasarkan status masing-masing yang merupakan juara dunia serta pemenang kejohanan Terbuka Perancis.
“Kalau mengikut sasaran realistik, saya tidak mahu pemain-pemain ini tersingkir di pusingan awal, kalau boleh mereka perlu melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu. Kemudian, baru kita lihat peluang seterusnya.
“Jika dilihat status Aaron-Wooi Yik sebagai juara dunia, sebenarnya kita harus menjadi juara memandangkan semua pemain yang layak ke kejohanan tersebut akan turun dengan misi memburu kejuaraan, begitu juga Pearly dan Thinaah,” kata pengendali dari Indonesia itu.
Untuk rekod, kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.76 juta) itu bakal menghimpunkan pemain-pemain yang berada dalam kelompok lapan terbaik setiap acara berdasarkan ranking Jelajah Dunia musim ini.
Edisi kali ini pastinya memberi peluang kepada Pearly-Thinaah untuk menebus kekecewaan selepas tersingkir di peringkat kumpulan musim lalu, manakala Aaron-Wooi Yik gagal melayakkan diri.
Selain Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah, Malaysia turut diwakili pemain-pemain profesional seperti Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) serta Lim Chiew Sien-Vivian Hoo (beregu wanita).