fbpx

Rebut pahala wakaf tanpa henti di MSAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAJAR-pelajar membanjiri MSAM 2022 di Port Dickson semalam. – MOHD SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON – Pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 tidak melepaskan peluang menyertai Wakaf Ama­nah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi mendapatkan pahala tanpa henti.

Rata-rata yang ditemui teruja mendengar penerangan me­ngenai kebaikan wakaf itu daripada kakitangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sempena MSAM yang berlangsung di sini semalam sejak 24 November lalu.

Seorang pengunjung, Normi Idris, 61, berkata, dia dan suami, Adnan Mail, 63, yang juga pesara kerajaan sanggup datang dari Seremban untuk ke MSAM bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Wakaf ASNB.

“Ketika usia seperti ini, kami mencari pelaburan akhirat pula, tak banyak, sedikit hajat kami hari ini agar dipermudahkan apabila dapat membuat wakaf tanpa mengeluarkan wang tunai.

“Dengan minimum RM1,000 melalui saham unit amanah sendiri yang diwakafkan, ia akan dapat dimanfaatkan untuk ke jalan kebaikan setiap tahun,” katanya ketika ditemui di MSAM 2022 di Kawasan Lapang Pantai Batu 1 di sini semalam.

Bagi Tengku Aisha Fateha Tengku Ahmad, 34, pula, dia tidak mahu melepaskan peluang hadir ke MSAM dari Kuala Lumpur setiap kali penganjurannya kerana terdapat pelbagai aktiviti bermanfaat yang diadakan.

“Melalui Wakaf ASNB, pelabur hanya perlu mewakafkan unit amanah sendiri dan dividen daripada unit amanah berkenaan akan digunakan untuk diagihkan dalam pelbagai projek wakaf.

“Insya-Allah pahala ini akan berterusan dan saya juga merasakan dividen yang diperoleh saban tahun akan sentiasa kompetetif serta menguntungkan,” ujarnya.

NORMI (kiri) dan suami, Adnan (kanan) mendengar penerangan daripada petugas MSAM 2022 di Port Dickson semalam.

Seorang lagi pengunjung, Rohani Mohd. Said, 60, dari Batu 4, Port Dickson berkata, dia sememangnya sedang mencari kaedah terbaik, tepat serta selamat untuk mewakafkan harta bagi pelaburan akhirat.

“Sebelum ini saya ada buat dengan institusi perbankan Islam yang lain, kali ini apabila hadir ke MSAM, saya dapat tahu, kita boleh melabur untuk saham akhirat dengan cara mewakafkan unit amanah untuk manfaat kepada komuniti.

“Saya yakin dengan apa yang ditawarkan oleh wakaf amanah ini, walaupun pelabur hanya mewakafkan dengan kadar minimum, insya-Allah pahalanya berterusan,” katanya.

Wakaf ASNB berkonsepkan ‘muabbad’ iaitu wakaf berkekalan yang menyimpan dan me­labur modal dana wakaf bagi mendapatkan pulangan setiap tahun.

Pulangan itu kemudiannya akan disalurkan kepada projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan.

Dengan Wakaf ASNB, pewakaf layak mendapat potongan cukai pendapatan.

Ia juga adalah pelengkap kepada khidmat perancangan kewa­ngan ASNB yang merang­kumi pelbagai bentuk pelaburan untuk mencapai matlamat yang berbeza-beza dalam kehidupan seorang pelabur. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI