fbpx

PRU15 perpecahan terbesar orang Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudahpun tamat dan kerajaan baharu telah terbentuk walaupun melalui fasa pasca pilihan raya yang sangat mencabar.

Namun apa yang menarik untuk penulis coretkan di sini adalah ‘sisi hitam’ yang berlaku semasa PRU15 lalu apabila perpecahan orang Melayu semakin ketara dek kerana politik kurang matang.

Jika diamati pada keputusan undian PRU15 lalu, apa yang boleh dirumuskan adalah jika orang Melayu bersatu, penulis yakin parti orang kita boleh memenangi banyak kawasan de­ngan majoriti lebih besar.

Sebagai contoh, jika sebuah Parlimen ditandingi hanya satu parti orang Melayu, rasanya majoriti mudah senang-senang diperolehi dan lebih senang membentuk kerajaan.

Namun apakan daya, disebabkan perbezaan ideologi politik, warna bendera dan pemikiran jumud, akhirnya politik orang Melayu berpecah kepada kepada beberapa parti yang membuatkan kita semakin lemah.

Betullah seperti yang disebut oleh watak Retak’ka dalam filem Boboiboy The Movie 2 yang me­nyebut bahawa berpecah akan membuatkan ‘boboiboy’ sema­kin lemah.

Namun selepas menggabungkan kuasanya, Retak’ka yang mempunyai kuasa yang sangat hebat dan kuat akhirnya ‘rebah’ di tangan Boboiboy yang jauh lebih kecil daripadanya.

Begitulah ironinya, walaupun ada sesetengah orang memandang itu hanya watak dalam sebuah filem animasi, namun maksud yang cuba disampaikan oleh watak Retak’ka itu boleh dijadikan pengajaran oleh kita sebagai bangsa Melayu dan orang Islam.

Seperti juga perkongsian oleh Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil sebelum ini menyatakan bahawa umat Islam ketika ini lemah bukan kerana jumlah yang tidak ramai, sebaliknya akibat berpecah-belah.

Kata beliau, orang Islam seharusnya menjadi umat yang kuat daripada aspek politik, ekonomi dan sosial tetapi ia gagal direalisasikan akibat perpecahan sesama agama dan bangsa.

“Kita amat bimbang dengan perpecahan umat di negara kita ketika ini, kita lemah bukan kerana jumlah kita tidak ramai, kita lemah kerana kita berbalah,” ujarnya.

Justeru kata beliau, jalan penyelesaiannya adalah dengan merujuk kepada ikon umat Islam yang paling agung iaitu Nabi Muhammad SAW yang berjaya me­nyatukan umat Islam meskipun berbeza daripada aspek ne­geri asal, paras rupa dan fahaman mengenai suku atau bani masing-masing.

Tambah Abdul Halim, Rasulullah juga berjaya membentuk masyarakat bukan Islam di Madinah supaya menerima umat Islam dan hidup dalam harmoni melalui Piagam Madinah.

Justeru nasihat penulis, walaupun PRU16 hanya akan bertamu lima tahun akan datang, namun seeloknya kita mulakan penyatuan umat Islam terutamanya orang Melayu dari sekarang.

Bina perpaduan, ukhuwah dan persaudaraan dari sekarang, lupakan perbalahan yang berlaku semasa PRU lalu.

Cari titik persamaan dan buang perbezaan, hentikan politik jumud dan berpuak-puak, insya-Allah kita akan jadi bangsa kuat dan bermaruah di bumi sendiri.

Apabila kita kuat dengan sendiri bangsa lain akan lebih menghormati dan yang pasti anak cucu tidak mengemis dan merempat di tanah bertuah ini. Fikir-fikirkanlah nasihat ini demi agama, bangsa dan negara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI