JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin telah dipanggil untuk membantu siasatan ekoran satu kenyataan yang dimuat naik beliau dalam laman sosial Facebook, ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, Chegubard disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, sebarang tindakan lanjut termasuk tangkapan terhadap individu berusia 44 tahun itu hanya akan dibuat selepas hasil siasatan diperoleh.
“Pada 17 November lalu, kami telah menerima satu laporan polis berhubung ‘posting’ dalam akaun Facebook bernama Chegubard Original.
“Ekoran laporan polis tersebut, kita telah ambil tindakan dan buka satu kertas siasatan. Individu berkenaan juga telah dipanggil untuk memberikan kenyataan berhubung perkara itu di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat kontinjen itu, di sini hari.
Tambah Cyril, pihaknya memanggil individu berkenaan kerana mempunyai ‘powers of investigation’ untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Chegubard dalam akaun Facebook miliknya mendakwa siasatan itu berkenaan beberapa isu dibangkitkan antaranya perlombongan emas, perlombongan pasir dan juga khazanah Mersing yang telah dibawa keluar.
“Saya tidak pasti akan disiasat bawah akta apa, namun saya siapkan minda untuk mereka menekan saya guna akta hasutan yang mana saya mungkin boleh ditahan tanpa waran.
“Untuk semua pejuang PN (Perikatan Nasional), sebagai manusia kita berhak kecewa tetapi jangan sampai terbaring umpama singa tewas menjilat luka. Bangkitlah umpama wira panglima kerana majoriti anak bangsa memilih kita untuk pertahan agama dan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE