fbpx

Piala Dunia: Senegal sahkan kemaraan selepas benam Ecuador

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN dan pegawai pasukan Senegal meraikan kejayaan mereka layak ke peringkat kalah mati Piala Dunia - AFP

AR-RAYYAN – Senegal mengesahkan slot kedua daripada Kumpulan A yang mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia apabila berjaya menewaskan Ecuador 2-1 pada aksi penentu di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi.

Sebelum perlawanan, tekanan seakan lebih condong kepada Lions of Teranga yang bawa misi wajib menang namun pengendali Senegal, Aliou Cisse yang dikatakan mirip penyanyi rap terkenal, Snoop Dogg nyata memiliki strategi lebih baik untuk menghadirkan kejayaan.

 

GELAGAT jurulatih Senegal, Aliou Cisse ketika memberikan arahan kepada pemainnya. – AFP

Walaupun sekadar memerlukan satu mata untuk mengulangi pencapaian 2006 layak ke peringkat kalah mati, Ecuador jelas tidak bernasib baik sekaligus keputusan itu menghadirkan pengubat duka buat bintang sensasi Senegal, Sadio Mane yang tidak dapat sertai pasukan ke Qatar ekoran kecederaan.

Selain itu, kemenangan tipis ini melengkapkan penampilan ke-50 paling sempurna buat Ismaila Sarr yang turut menyumbangkan satu gol ketika membuka jaringan perlawanan di hujung babak pertama menerusi sepakan penalti.

Kesilapan pemain termuda dalam kesebelasan utama Ecuador, Piero Hincapie yang melakukan kekasaran dalam kotak penalti mengundang padah apabila Sarr begitu tenang memastikan gol pendahuluan buat Senegal pada minit ke-44.

Keputusan pengendali Ecuador, Gustavo Alfaro memasukkan Jose Cifuentes dan Jeremy Sarmiento sebaik memulakan babak kedua menghadirkan impak positif apabila La Tricolor berjaya tampil lebih baik dengan memaksa Senegal turun berkampung di kawasan sendiri.

Selepas 23 minit mencuba, Moises Caicedo yang baharu berusia 21 tahun dan 27 hari akhirnya kembali menyamakan kedudukan dan paling menarik jaringan itu turut meletakkan namanya sebagai pemain termuda Ecuador menjaringkan gol di Piala Dunia.

Bagaimanapun, keceriaan itu sekadar bertahan dua minit apabila tonggak pertahanan Lions of Teranga, Kalidou Koulibaly merakam namanya selaku wira Senegal selepas meledak gol kemenangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI