DOHA – Pasukan Belanda menutup aksi peringkat Kumpulan A dengan bergaya selepas membenam pasukan tuan rumah, Qatar 2-0 sekali gus melepasi sasaran awal melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 sebagai juara peringkat kumpulan.
Kemenangan skuad The Oranje di Stadium Al Bayt sekali gus menambah derita buat Qatar apabila pasukan kendalian Felix Sanchez itu tewas dalam tiga perlawanan dalam aksi Kumpulan A sekali gus menutup Piala Dunia sebagai pasukan tercorot.
Pada saingan tersebut, Qatar yang dilihat terdesak untuk mencari kemenangan pertama dalam kempen Piala Dunia, masih gagal mempersembahkan permainan terbaik mereka pada perlawanan terakhir itu.
Mana tidaknya, kekalahan itu menyebabkan Qatar menjadi pasukan pertama ‘ditendang’ keluar sejurus tewas 0-2 di tangan Ecuador sebelum tumbang 1-3 di tangan Senegal. Lebih malang mereka gagal untuk meraih kemenangan terakhir ke atas Belanda.
Pada saingan tersebut, kelincahan pemain muda Belanda, Cody Gakpo tidak boleh dipertikai apabila bintang PSV Eindhoven itu meledak gol pembukaan pada minit ke-26 sekali gus menambah tiga gol dalam kempen Piala Dunia kali ini.
Meskipun Qatar cuba mencari gol penyamaan mereka, namun Belanda bijak menutup segala ruang sepanjang separuh masa perlawanan sekali gus memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah tersebut.
Bersambung babak kedua, Belanda tidak menunggu lama apabila menambah gol kedua mereka pada minit ke-49 selepas Frenkie de Jong bijak menghidu peluang menyambar bola muntah yang gagal dikeluarkan penjaga gol Qatar, Al Barsham dari zon bahaya ketika menafikan percubaan Memphis Depay.
Belanda hampir menjaringkan gol ketiga mereka menerusi Steven Berghuis namun ia dibatalkan selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan Gakpo .
Kemenangan Belanda sekali gus memberi kelegaan kepada Louis Van Gaal apabila pasukan kendaliannya itu menutup kempen peringkat kumpulan di tangga teratas dengan dua kemenangan dan satu seri sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik. -KOSMO! ONLINE