DOHA – Kedudukan Argentina pada Piala Dunia 2022 masih belum selamat menjelang aksi terakhir peringkat Kumpulan C menentang Poland yang akan berlangsung di Stadium 974 awal pagi esok.
Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menggesa barisan pemainnya supaya berwaspada dan tidak terlalu yakin meskipun berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
Memandangkan saingan Kumpulan C masih terbuka, keputusan seri menentang Poland mungkin boleh meranapkan impian juara dua kali itu dalam usaha mereka memburu kejuaraan pada penampilan terakhir Lionel Messi di Piala Dunia.
“Selepas perlawanan dengan Mexico, saya menerima panggilan daripada abang saya yang menangis atas kemenangan itu.
Bagaimanapun, saya tidak kongsi perkara itu dengan pemain kerana mereka perlu fokus.
“Memang kami menang (menentang Mexico), tetapi saya tidak mahu raikan kerana kedudukan kami belum selamat. Sekarang kami perlu alihkan fokus sepenuhnya terhadap persiapan bertemu Poland,” katanya.
Pada masa sama, beliau percaya Poland tidak akan memberi laluan mudah kepada La Albiceleste memandangkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk layak ke pusingan kalah mati.
“Setiap pasukan akan menggunakan pendekatan berbeza apabila bertemu Argentina dan Poland tidak terkecuali. Mereka bukan sahaja fokus terhadap Leo (Messi), tetapi pemain-pemain lain juga,” ujar Scaloni. – AGENSI