LUSAIL – Ketua Jurulatih Uruguay, Diego Alonso mempertahankan keputusannya menerapkan aksi bertahan ketika tewas 0-2 kepada Portugal pada aksi Kumpulan H di Stadium Lusail awal pagi semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Uruguay berada di kedudukan tercorot kumpulan dengan satu mata selain wajib menewaskan Ghana bagi membuka peluang untuk mereka layak ke pusingan kalah mati.
Alonso menjelaskan, pasukannya tidak bermain secara total bertahan, sebaliknya Uruguay menyesuaikan diri dengan situasi permainan memandangkan Portugal lebih banyak melakukan asakan ke pintu gol mereka.
“Saya tidak fikir kami mengamalkan corak permainan bertahan kerana kami perlu melihat pada situasi permainan. Jika Portugal sentiasa menyerang, sudah tentu kami perlu turun ke bawah dan bertahan.
“Kami gagal mencipta banyak peluang dan kami juga terlalu mudah kehilangan bola, jadi sebab itu kami terpaksa berkampung dalam kawasan sendiri bagi menghalang serangan lawan,” katanya.
Justeru, beliau menggesa barisan pemainnya agar menampilkan aksi lebih baik dan memberikan segala-galanya menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Ghana sekiranya enggan pulang awal.
“Kami wajib dapatkan kemenangan bertemu Ghana nanti, jadi saya akan cuba membentuk sistem permainan baharu. Apa yang pasti, ia akan jadi satu perlawanan sukar,” ujarnya.
– AGENSI