TENAGA lestari kini semakin menjadi tarikan di Malaysia dan ramai rakyat telah menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui ini secara separa atau keseluruhan di rumah mereka.
Salah satu tenaga lestari yang popular dan mula diterima kebanyakan masyarakat ialah tenaga solar.
Tenaga solar merupakan tenaga boleh diperbaharui dan paling mudah diakses kerana cuaca tropika negara kita yang sentiasa menerima cuaca panas saban tahun.
Dalam pada itu, aplikasi tenaga solar yang paling biasa digunakan di kediaman ialah pemanas air solar sebagai sumber tenaga alternatif untuk sistem pemanasan air di rumah.
Di samping peningkatan aksesibilitinya, pemanas air solar mendatangkan banyak kelebihan kepada pemilik rumah seperti pengurangan bil elektrik dan manfaat mesra alam dalam jangka masa panjang sambil mengekalkan kecekapan yang sama seperti pemanas air tradisional.
Penasihat Kanan Produk SolarMate, Mok Gim Kaw berkata, penggunaan pemanas air solar adalah pilihan terbaik bagi yang berminat untuk memulakan penggunaan tenaga mampan sebelum melabur wang yang besar untuk penggunaan tenaga lestari secara meluas di rumah mereka.
“Walaupun terdapat peningkatan keperluan untuk pemanas air solar sebagai sumber tenaga alternatif, kami mendapati masih ramai yang meragui untuk memasangnya di rumah akibat tanggapan yang salah terhadap penggunaannya.
“Sedangkan dengan kemajuan teknologi moden, pemilik rumah boleh memilih daripada pelbagai pilihan mengikut keperluan dan keadaan rumah untuk menikmati manfaat penggunaan sistem ini dengan sepenuhnya,” katanya.
Pemanas air solar menggunakan tenaga sinaran matahari untuk memanaskan air sejuk dan memindahkan air yang dipanaskan ke dalam tangki simpanan yang sedia untuk digunakan.
Selepas pemeriksaan keadaan bumbung rumah anda dan penentuan saiz tangki air, peranti pemanasan yang mempunyai panel solar di permukaannya akan dipasang di atas bumbung.
Memandangkan sistem ini menggunakan sinaran solar untuk memanaskan air, ia masih boleh berfungsi pada hari mendung kerana keadaan cuaca tidak akan menghalang sinaran matahari.
Walaupun output maksimum pemanas air solar mungkin berkurangan waktu cuaca mendung, sesetengah pemanas air solar dipasangkan dengan sistem pemanasan sokongan untuk menghasilkan air yang telah dipanaskan ke suhu yang diperlukan.
Ia juga boleh dipasangkan dengan sistem sokongan elektrik bagi meningkatkan operasi apabila diperlukan untuk memastikan bekalan air panas berterusan sewaktu cuaca yang tidak diingini.
Dalam pada itu, pengguna boleh menjimatkan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus daripada bil elektrik bulanan rumah mereka dengan menukar pemanas air elektrik tradisional anda kepada pemanas air solar.
Walaupun pemasangan pemanas air solar lebih mahal daripada pemanas tradisional, ia menggunakan cahaya matahari yang percuma untuk berfungsi dan anda dapat menikmati pengurangan kos elektrik dalam jangka masa panjang.
Gim Kaw menjelaskan, pemanas air solar pasti boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga di rumah anda.
Menurutnya, walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang akan menentukan kadar penjimatan elektrik selepas peralihan kepada sistem pemanas air solar.
“Jumlah air panas yang digunakan dan prestasi sistem adalah antara faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum pemasangan.
“Oleh itu, sila rujuk pembekal yang boleh dipercayai untuk memilih pemanas air solar yang bersesuaian dengan keperluan anda dan pastikan penyelenggaraan dijalankan untuk mengekalkan kecekapan sepanjang penggunaan,” terangnya.
Untuk memasang pemanas solar, pengguna boleh melakukan beberapa pertimbangan terlebih dahulu bagi memaksimumkan kecekapan kos.
Beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memasang pemanas air solar di rumah ialah bilangan penghuni rumah, kapasiti penyimpanan air panas, struktur bumbung dan banyak lagi faktor lain demi pemilihan produk yang paling sesuai dengan keperluan anda.
Berdasarkan bilangan ahli keluarga, pengguna boleh memilih pemanas air solar dengan kapasiti tangki kecil atau besar yang mampu membekalkan jumlah air panas yang mencukupi untuk penggunaan semua.
Pemanas air solar direka untuk bertahan bagi tempoh lama dan biasanya ia boleh bertahan selama 15 hingga 20 tahun.
Walaupun ia memerlukan penyelenggaraan yang minimum dalam jangka hayat penggunaan, ia masih boleh mencapai kefungsian maksimum dan mengurangkan kos elektrik dalam jangka masa panjang jika ia diselenggara dengan betul.