PETALING JAYA – Gelagat lucu seorang pelajar yang meneka jawapan menggunakan sebiji pemadam di sebuah sekolah di Johor Bahru, meraih perhatian ramai.
Video yang dimuat naik oleh @im_chowok di TikTok menunjukkan gelagat pelajar perempuan tersebut membaling pemadam bagi meneka mana satu jawapan yang tepat.
Pelajar itu juga kelihatan terburu-buru dengan menepuk dahinya apabila melihat halaman seterusnya yang masih banyak lagi belum dijawab.
“Bila semalam sibuk tengok Piala Dunia, tetapi lupa ada peperiksaan. Bukan main ya baling pemadam untuk teka jawapan. Jangan risau, kertas subjek Matematik saya dulu pun macam ini juga,” tulis @im_chowok di kapsyennya.
Sehingga kini, video yang dimuat naik semalam itu telah mendapat 1.6 juta tontonan, 123,200 tanda suka dan 4,259 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang terhibur dengan gelagat pelajar ini dan mengimbas semula kenangan sama terjadi kepada mereka ketika zaman persekolahan.
“Saya pernah macam ini, baling pemadam, tetapi tunjuk B, akhirnya saya tetap pilih jawapan C,” komen seorang netizen.
“Buat siapa yang tidak tahu, pemadam itu ada dua belah, kira jawapan A atau B je,” komen netizen yang lain pula. – KOSMO! ONLINE