fbpx

Lebih 80 cedera bantah projek konglomerat Adani Group

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kampung membantah projek pembinaan pelabuhan tersebut kerana ia didakwa menyebabkan hakisan pantai dan memusnahkan mata pencarian mereka. – KB JAYACHANDRAN

NEW DELHI – Lebih 80 orang termasuk anggota polis cedera di India semasa penduduk sebuah kampung mengadakan tunjuk perasaan membantah projek pelabuhan bernilai AS$900 juta (RM4 bilion) yang dibangunkan konglomerat Adani Group, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Protes terbaharu itu menyaksikan penduduk kampung bertempur dengan anggota-anggota polis dalam kejadian di negeri Kerala selepas pertikaian berlarutan selama berbulan-bulan.

Komuniti nelayan mengadakan demonstrasi membantah projek berkenaan yang dibangunkan oleh konglomerat milik lelaki terkaya di Asia, Gautam Adani. Demonstrasi berlarutan itu mengakibatkan kerja-kerja pembinaan dihentikan di pelabuhan Vizhinjam.

Kemudahan itu dianggap sebagai pesaing berpotensi yang akan menjana keuntungan dan mampu menyaingi pelabuhan utama di Dubai, Singapura serta Sri Lanka.

Salah seorang pemimpin protes tersebut, Joseph Johnson berkata, sekurang-kurangnya 46 peserta tunjuk perasaan cedera. 

Seorang pegawai polis kanan tempatan, M R Ajith Kumar pula berkata, 36 anggotanya  cedera dalam pertempuran tersebut.

Kerja-kerja pembinaan di pelabuhan itu telah dihentikan selama lebih tiga bulan selepas penduduk kampung menyalahkan pembangunan tersebut sebagai punca hakisan pantai serta menjejaskan mata pencarian mereka.

Mereka telah menghalang jalan masuk ke tapak pembinaan itu dengan membina tempat perlindungan seluas 111 meter persegi. 

Seorang anggota polis yang enggan namanya didedahkan berkata, kawalan keselamatan kini dipertingkatkan selepas insiden terbaharu itu, dengan lebih 600 anggota dikerah ke seluruh pelabuhan Vizhinjam.

Sementara itu, Adani Group tidak memberikan sebarang kenyataan ketika diminta memberikan komen mengenai insiden terbaharu itu. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI