SERIAN – Seorang remaja maut apabila kereta dipandunya terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori seberat 10 tan di Kampung Jirok, Jalan Serian-Sri Aman, di sini, malam tadi.
Mangsa, Derry Ronston Jong yang berusia 18 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di dalam kereta jenis Perodua Alza dan badan mangsa didapati melecur 20 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut sekitar pukul 10.24 malam.
Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati sebuah lori 10 tan bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza sehingga menyebabkan kereta berkenaan musnah terbakar sepenuhnya.
“Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Alza didapati melecur 20 peratus dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Sementara itu, pemandu lori berusia 55 tahun bersama kelindan lori berumur 49 tahun pula cedera ringan dan dihantar ke Hospital Serian untuk mendapat rawatan,” katanya.
Jelasnya lagi, pasukan bomba memadamkan sepenuhnya api pada kereta terbabit dengan menggunakan satu aliran saluran bantu mula air dari pam jentera.
“Operasi pemadaman api berjaya dikawal kira-kira pukul 2 pagi.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.