KOTA BHARU – Jenazah bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Hashim Mustapha,56 yang meninggal dunia malam tadi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Chapi, Kampung Baung Bayam di sini.
Mohd. Hashim yang menghembuskan nafas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini telah dikebumikan di tanah perkuburan itu kira-kira pukul 10.35 pagi tadi.
Sebelum itu, jenazahnya disolatkan oleh lebih 1,000 jemaah termasuk ahli keluarga, jiran, rakan-rakan dan bekas pemain pasukan Kelantan di Masjid Al-Husna di sini.
Kosmo! Online malam tadi melaporkan, Mohd. Hashim meninggal dunia selepas ditidurkan beberapa hari di Unit Rawatan Rapi (ICU), HUSM pada pukul 10.25 malam.
Beliau juga sudah menjalani pembedahan memotong kaki kiri pada 27 Oktober lalu selepas salur darah tersumbat akibat jangkitan kuman.
Berdasarkan rekod, Mohd. Hashim merupakan penerima anugerah kasut emas Liga Perdana selepas menjaringkan gol terbanyak pada tahun 1993 dan 1994 bersama pasukan Kelantan. – KOSMO! ONLINE