CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil pihak pengurusan TikTok untuk tampil memberi penjelasan berhubung klip video berbaur provokasi yang tular di aplikasi itu ketika ini.
MCMC berkata, penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat cuba mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain.
Menurutnya, ia sekali gus menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum.
“Dalam pada itu, MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkat usaha bagi mengekang penyebaran video-video sedemikian yang boleh menganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tiga klip video mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969 dikesan tersebar menerusi aplikasi TikTok yang kemudian tular di media sosial.
Siasatan awal mendapati, tiga klip video TikTok itu adalah kandungan berbayar.
Pada masa sama, MCMC mahu orang ramai melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Raja dan perkauman.
Aduan boleh disalurkan menerusi Portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/; Talian aduan: 1800-188-030; WhatsApp di 016-2206262 dan E-mel di [email protected]. – KOSMO! ONLINE