fbpx

Mahkamah: Farid Kamil hanya didenda RM5,000 kes ganja 4 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farid Kamil ketika hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. Foto Faisol Mustafa

PUTRAJAYA – Pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan menggunakan ganja, empat tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said sebulat suara mengetepikan hukuman penjara itu dan menggantikannya dengan denda sebanyak RM5,000.

Jika gagal membayar denda tersebut, Farid Kamil, 41, diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan.

Denda itu dibayar ahli keluarga Farid termasuk isterinya Diana Danielle dan adiknya Fadzil Zahari yang hadir mengikuti prosiding berkenaan.

Hakim Kamaludin yang turut bersidang bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun mengekalkan perintah pengawasan selama dua tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret.

“Farid Kamil Zahari, kamu hanya didenda RM5,000 dan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Jika gagal bayar denda kamu kena penjara enam bulan lagi,” ujar beliau.

Sementara itu, pelakon Remp-It 2 tersebut ketika ditemui wakil media sejurus selesai membayar denda meluahkan rasa bersyukur dengan keputusan tersebut yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

Sambil berterima kasih kepada barisan peguam bela yang mewakilinya, Farid Kamil gembira kerana kes telah selesai di peringkat rayuan.

Kini Farid Kamil boleh menumpukan perhatian kepada pengambaran filem-filem seterusnya.

“Sekarang ini saya terlibat dengan penggambaran filem berjudul ‘Anwar’ yang kini di peringkat akhir dan dijangka ditayangkan pada Februari 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Diana turut melahirkan kesyukuran dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada suaminya serta berterima kasih kepada barisan peguam bela dan peminat yang sentiasa mendoakan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI