fbpx

[VIDEO] Tiga lelaki Thailand ‘kutip’ diesel bersubsidi dihadapkan ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang lelaki Thailand yang dituduh di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas pertuduhan cuba menyeludup diesel bersubsidi ke Thailand.

KANGAR – Tiga lelaki Thailand yang melakukan kegiatan ‘mengutip’ diesel bersubsidi dari beberapa stesen minyak di negeri ini pada Jumaat dan Sabtu lalu membawa padah apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh itu ialah Anan Pusu, 28; Amnuaprasit Chaiwichit, 42, dan Theerapong Wongyai, 25.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membawa keluar bahan api bersubsidi tersebut dari Malaysia ke Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dekat sini.

Pengakuan itu dibuat setelah pertuduhan terhadap Theerapong Wongyai dibacakan di hadapan Majistret, Siti Norhasliza Md. Ali manakala Anan Pusu dan Amnuaprasit Chaiwichit pula di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd. Nor.

Hukuman terhadap mereka bagaimanapun belum dijatuhkan dengan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Januari depan sementara menanti serahan laporan kimia.

Mengikut kertas pertuduhan, Anan Pusu didakwa cuba membawa keluar 70 liter diesel dari Malaysia melalui jalan darat menggunakan kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo di Kompleks ICQS Padang Besar kira-kira pukul 12.45 tengah hari, 25 November lalu.

Sementara, Amnuaprasit Chaiwichit didakwa cuba membawa keluar 41 liter bahan bakar bersubsidi itu dengan memasukkannya ke dalam tangki asal kenderaan Ford Ranger untuk tujuan sama di lokasi sama kira-kira pukul 11.40 pagi, 26 November lalu.

Bagi seorang lagi tertuduh, Theerapong Wongyai, dia didakwa memasukkan sebanyak 69 liter diesel ke dalam tangki asal kenderaan jenis Nissan Navara bagi tujuan sama pada pukul 11.30 pagi, 26 November lepas.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Sub Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum mengikut Perenggan 5 (a) peraturan sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kosmo! pada 22 November lalu mendedahkan kegiatan kenderaan asing dari Thailand yang semakin rancak ‘mengatur’ stesen minyak sejak awal bulan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI