PETALING JAYA – Satu tabung kecemasan mengutip sumbangan buat pelakon Nad Zainal yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta dilancarkan.
Tabung berkenaan bagi menampung kos rawatan pelakon itu sejak dimasukkan ke hospital lebih seminggu lalu.
Kewujudan tabung tersebut dikongsikan pengarah dan juga penerbit Shahrulezad menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
“Ramai sudah maklum mengenai pelakon Nad Zainal yang masih dirawat di wad ICU sejak minggu lalu.
Tabung Kecemasan ini adalah insiatif rakan-rakan serta peminat Nad Zainal bagi menampung kos rawatan
di hospital pakar, sekali gus membantu meringankan beban keluarganya.
“Bagi semua yang prihatin, mari kita sama-sama berganding bahu untuk membantu,” tulis pengarah drama Cina Buta itu.
Pada masa sama, Shahrulezad turut meminta orang ramai menguar-uarkan kutipan derma tersebut, selain tidak putus berdoa agar Nad kembali pulih dan sihat seperti sediakala.
“Jangan kita lupa titipkan doa untuk Nad Zainal agar kembali pulih sepenuhnya dan jangan lupa juga untuk kongsikan post (perkongsian) ini agar lebih ramai dapat turut membantu,” katanya.
Penderma yang bermurah hati untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB Pertubuhan Kebajikan As Siddiq menggunakan nombor akaun, 8604978484.
Dalam hantaran sama, pemilik rumah produksi RadiusOne itu turut berkongsi alamat e-mel, [email protected] untuk penderma memberikan resit sebagai bukti sumbangan.
Terdahulu ibu kepada dua cahaya mata itu dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang Puteri Isnin lalu akibat pendarahan paru-paru dan diintubasi bagi merehatkannya.
Selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, Nad atau nama lengkapnya Farah Nadia Zainal Abidin semakin menunjukkan perkembangan positif dan difahamkan sudah beberapa kali membuka mata.
Biarpun hanya dalam tempoh singkat, kondisi terkini yang ditunjukkan pelakon Dendam Seorang Isteri itu nyata memberi kegembiraan buat semua. – KOSMO! ONLINE