PETALING JAYA – Melakukan senaman ekstrem secara bermusim kerana mahu mengikut trend boleh mengundang implikasi tidak baik terhadap kesihatan seseorang.
Pengarah Perubatan dan Pengasas Klinik Iris Shah Alam, Dr. Arisman Wenge Abdul Rahman berkata, senaman yang disarankan pakar kesihatan adalah senaman ringan, tetapi dilakukan secara konsisten setiap hari.
“Sebenarnya masih ada kebaikan senaman secara bermusim termasuk untuk menghilangkan stres, tetapi dari segi kesihatan jangka masa panjang, ia tidak memberi kesan yang kita inginkan.
“Senaman yang dilakukan secara bermusim dan ekstrem pula boleh mengundang risiko kesihatan, sebagai contoh boleh mengalami rabdomiolisis atau cardiac arrest,” katanya kepada Kosmo!.
Arisman berkata, seseorang yang sudah biasa melakukan senaman berat tanpa mengalami sebarang risiko boleh meneruskan aktiviti itu mengikut kemampuan tubuh mereka.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mengikut trend dan tiba-tiba mahu mengikut rakan untuk berbasikal sejauh 50 kilometer (km) atau berjoging 10 km, ia adalah sangat bahaya.
“Ia boleh memberi kesan kepada jantung. Orang yang sudah lama melakukan aktiviti ekstrem tanpa sebarang risiko, jantung mereka telah bersedia. Mereka yang tiba-tiba hendak buat aktiviti berat secara mengejut atau bermusim adalah sangat bahaya,” jelasnya.
Menurut beliau, risiko rabdomiolisis pula adalah berkaitan kecederaan pada otot yang menyebabkan elektrolit dalam otot pecah sehingga ke pembuluh darah dan boleh mengundang kematian.
Justeru kata beliau, senaman untuk kesihatan yang disarankan untuk individu adalah 150 minit dalam seminggu yang dilakukan secara konsisten iaitu sekitar 30 minit sehari.