BANDAR RAYA NEW YORK – Harga minyak mentah dunia mencatat paras terendah semalam ketika kebimbangan berterusan mengenai permintaan di China selepas dasar sifar Covid mencetuskan tunjuk perasaan yang jarang berlaku, lapor agensi berita United Press International.
Harga penanda aras global, minyak mentah Brent susut sekitar 1.3 peratus setakat pukul 10.10 pagi (zon waktu timur) untuk didagangkan pada harga AS$82.62 (RM372.15) setong, kadar terendah sejak 10 Januari lalu.
Bagi penanda aras Amerika Syarikat pula, West Texas Intermediate mencatat penurunan 1.2 peratus kepada AS$75.36 (RM339.4) setong, juga kadar terendah sejak Disember 2021.
Kebanyakan penganalisis pasaran menjangkakan harga minyak mentah kekal tiga angka berikutan risiko kehilangan bekalan dari Russia disebabkan oleh sekatan Barat ke atas Moscow sebagai tindak balas perang Ukraine.
Namun, kadar inflasi pengguna yang tinggi serta ancaman kegawatan ekonomi diramal menyaksikan harga minyak mentah kekal dalam kadar tersebut untuk sebahagian besar suku keempat tahun ini.
Sebahagian besar kebimbangan mengenai permintaan tertumpu kepada China, di mana dasar Covid-19 yang tegas tanpa kompromi menyebabkan lokasi-lokasi yang menjadi pusat pengeluaran ditutup seperti Shanghai.
Penganalisis pasaran tenaga di The PRICE Futures Group, Phil Flynn berkata, pendapatan daripada minyak mentah berkurangan tahun ini disebabkan kebimbangan perintah berkurung Covid-19 di China selaku ekonomi kedua terbesar dunia, boleh membawa kepada kegawatan ekonomi global.
“Protes yang tidak pernah berlaku sebelum ini serta desakan supaya Presiden Xi Jinping berundur mungkin akan mendorong tindak balas lebih tegas oleh pihak berkuasa China.
“Situasi ini akan memperlahankan pembukaan semula (ekonomi) China yang dinanti-nantikan,” katanya dalam satu nota kajian diterbitkan kelmarin.
Digelar ‘Revolusi Kertas Putih’ berikutan penggunaan kertas kosong berwarna putih sebagai simbolik kepada undang-undang penapisan ketat di China, protes tersebut merebak ke luar ibu kota, Beijing dan bandar raya Shanghai hujung minggu lalu dalam peristiwa yang jarang berlaku di negara itu.
Skop dan skala demonstrasi antipemerintah itu didakwa lebih besar berbanding mana-mana protes yang pernah berlaku di China sejak bantahan prodemokrasi di Dataran Tiananmen pada 1989. – Agensi