BEIJING – Beratus-ratus orang memenuhi jalan-jalan raya di beberapa bandar utama di China kelmarin kerana membantah pelaksanaan sekatan ketat dasar sifar Covid-19 yang menyaksikan kemarahan rakyat terhadap pemerintah semakin meningkat.
Seorang demi seorang penduduk kota raya Beijing turun ke jalan-jalan pada malam yang dingin kelmarin selepas rakaman video protes tersebar di media sosial.
Dalam masa beberapa jam, ratusan penduduk berkumpul di tebing Sungai Liangma ketika suhu menghampiri takat beku. Menurut wartawan agensi berita AFP di lokasi kejadian, ramai penduduk memegang kertas putih kosong sebagai simbolik kepada penapisan yang dilaksanakan pemerintah.
Sebilangan mereka menyalakan lilin dan lampu di atas sebuah altar yang dibina. Penunjuk perasaan turut meletakkan jambangan-jambangan bunga bersama sekeping nota bermaksud: “Untuk semua mangsa yang terkorban dalam kebakaran Urumqi pada 24 November (2022).”
Beberapa protes serupa tercetus di Shanghai susulan insiden kebakaran yang membunuh 10 orang di Urumqi. Urumqi merupakan ibu kota wilayah Xinjiang, barat China.
Orang ramai menyalahkan perintah berkurung sebagai penyebab kepada kematian itu selepas perkhidmatan kecemasan gagal tiba di lokasi kejadian pada waktu sepatutnya.
“Kami semua penduduk Xinjiang! Bangkit, rakyat China! Hidup rakyat!” kata sebilangan peserta protes sambil berarak di tepi sungai.
“Saya berada di sini demi masa depan saya. Anda perlu berjuang demi masa depan.
“Saya tidak takut kerana kami tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang. Semua orang bekerja keras untuk hari esok yang lebih baik,” kata seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Tian.
Ada juga penduduk yang secara terang-terangan menentang dasar sifar Covid sambil melaungkan slogan: “Katakan tidak kepada ujian asid nukleik, kami mahu makanan.”
Seorang wartawan AFP berkata, polis cuba meleraikan tunjuk perasaan sejurus sebelum pukul 10.30 malam (waktu tempatan), namun disambut dengan sorakan “Jangan undur.”
Ramai daripada mereka memilih untuk kekal berada di situ dengan kenderaan lalu-lalang membunyikan hon sebagai tanda sokongan.
Sekitar pukul 1.45 pagi (waktu tempatan), kira-kira 100 anggota polis tiba dan bergerak ke arah orang ramai, menyebabkan ada yang mula meninggalkan lokasi protes.
Namun, kira-kira 100 orang masih kekal berdiri di bawah sebuah jambatan dengan ada yang meluahkan kemarahan kepada polis sebelum mereka bersurai selepas pasukan polis separa tentera tiba sekitar 15 minit kemudian.
Strategi sekatan ketat Covid-19 di China telah mencetuskan kemarahan orang awam, dengan ramai yang semakin muak dengan perintah berkurung berterusan, tempoh kuarantin yang lama serta saringan Covid-19 besar-besaran.
Sementara itu, protes turut tercetus di beberapa bandar lain seperti Shanghai, di mana polis dilaporkan bertempur dengan kumpulan penunjuk perasaan sehingga ada yang ditahan.
Di bandar Wuhan pula, beberapa penstriman secara langsung di media sosial telah ditapis oleh pemerintah. Ia menunjukkan orang ramai berarak di jalan-jalan raya sambil menyorak dan merakam demonstrasi tersebut.
Beberapa video yang dikatakan dirakam di bandar-bandar utama lain seperti Guangzhou dan Chengdu turut tular di media sosial malam kelmarin, namun AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan video tersebut. – AFP