DOHA – Taktikal Maghribi untuk menyekat pemain Belgium daripada membuat hantaran kepada Kevin De Bruyne dan Eden Hazard jelas berhasil sekali gus menyaksikan mereka menghadirkan satu lagi kejutan di Piala Dunia kali ini.
Dua pemain gantian Maghribi, Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Aboukhlal menjadi watak penting buat The Atlas Lions yang memastikan kemenangan 2-0 ke atas pasukan ranking kedua dunia itu di Stadium Al Thumama, kelmarin.
Pengendali Maghribi, Walid Regragui nyata puas untuk menyaksikan aksi luar biasa dipamerkan anak buahnya selepas turut mengikat Croatia tanpa jaringan pada aksi pertama.
“Kami menentang salah satu pasukan terbaik di dunia dan mereka memiliki ramai pemain ternama. Kami tahu mereka akan menguasai sebahagian besar permainan.
“Namun, jika kami tidak berikan komitmen 100 peratus, sudah pasti ia sesuatu yang mustahil untuk menang. Kehadiran penyokong dan kelompok pemain yang kami ada, kini segalanya mungkin boleh direalisasikan.
“Kami menyekat mereka mencari De Bruyne dan Hazard dan kami bersabar menunggu peluang hadir,” katanya.
Selepas dua perlawanan Kumpulan F, Maghribi kini berada di tangga kedua, berkongsi mata dengan Croatia yang memiliki kelebihan jaringan sekaligus membuka peluang untuk mara ke peringkat kalah mati.
Sekalipun memiliki peluang cerah untuk mara, Regragui lebih bersikap waspada kerana sedar Kanada juga mahukan sesuatu selepas tewas kedua-dua perlawanan kepada Croatia dan Belgium. – AGENSI