DOHA – Kekalahan 0-2 kepada Maghribi di Stadium Al Thumama kelmarin menyaksikan kapten Belgium, Kevin De Bruyne hilang sabar dan terpaksa mengakui skuad kali ini sudah terlalu ‘tua’ untuk mencabar kejuaraan di Piala Dunia.
Walaupun perit untuk menyatakan perkara sebenar, bintang Manchester City itu merasakan era generasi emas Belgium kini sudah pun berakhir dan peluang The Red Devils untuk muncul juara seakan sudah tertutup.
Sekalipun berjaya memastikan kemenangan 1-0 ke atas Kanada pada perlawanan pertama, Khamis lalu, De Bruyne menyatakan skuad kali ini gagal mencapai standard sebenar untuk bersaing di pentas tertinggi dunia.
“Tidak ada peluang lagi, kami sudah terlalu tua. Saya fikir masa terbaik kami (untuk muncul juara) adalah pada edisi 2018. Ketika ini kami masih memiliki skuad terbaik, namun kini masing-masing sudah berusia.
“Kami hilang beberapa pemain utama. Perkara yang bagus hanyalah dengan kehadiran pemain baharu, tetapi mereka tidak berada pada tahap sama seperti skuad 2018.
“Saya lihat kami sebagai pasukan yang tidak berada dalam senarai pencabar,” katanya ketika mengulas peluang Belgium untuk mencabar kejuaraan.
Berdasarkan purata umur, Belgium muncul pasukan keenam paling tua dan separuh daripada kesebelasan utama pada aksi dengan Kanada sebelum ini sudah pun berusia 30 tahun atau lebih.
Pada perlawanan kelmarin, dua pemain gantian, Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Aboukhlal muncul wira buat Maghribi, meledak kedua-dua gol The Atlas Lions.
Khamis ini, skuad kendalian Roberto Martinez bakal berdepan aksi hidup mati, menentang Croatia pada aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Ahmad Bin Ali. – AGENSI