fbpx

Penceramah bebas punyai 3 isteri berdepan hukuman jel 190 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fathi ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Klang atas sembilan pertuduhan melibatkan rogol, amang seksual dan hubungan seks. -Foto AFIQ RAZALI

KLANG – Seorang penceramah bebas berdepan hukuman penjara 190 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan hubungan seks dengan objek pada 2021 dan tahun ini.

Tertuduh, Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.

Muhammad Fathi yang mempunyai tiga isteri didakwa atas tujuh pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Bapa lapan anak itu turut menghadapi tuduhan amang seksual ke atas mangsa sama di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, sekiranya disabitkan kesalahan.

Selain itu, Muhammad Fathi juga dituduh melakukan perhubungan seks dengan objek ke atas mangsa sama mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan boleh sampai 30 tahun serta sebatan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire di kawasan parkir dan hadapan sebuah surau serta dalam sebuah hotel di Bandar Puncak Alam antara Jun 2021 dan  Februari tahun ini.

Semasa prosiding pendakwaan tersebut, dua wanita dipercayai isteri mangsa turut berada di dalam galeri mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron yang juga Pengarah Pendakwaan Selangor menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain dilarang mendekati dan menghubungi mangsa secara fizikal atau komunikasi lain.

Peguam Samry Masri bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya memerlukan perbelanjaan bagi rawatan penyakit slip disc (tulang rawan tergelincir).

“Anak guam saya mempunyai tiga isteri dan lapan anak berusia setahun hingga 11 tahun yang memerlukan perhatian daripada tertuduh. Selain itu, dia turut menanggung ibu bapanya berusia 66 dan 68 tahun.

“Sebelum ditangkap pekerjaan utamanya adalah penceramah bebas. Namun, selepas kes viral telah menyebabkan kehilangan punca pendapatan,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 bersama seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Sebutan semula kes pada 10 Januari depan.

Kosmo! pada 19 Julai lalu melaporkan seorang penceramah bebas bergelar ustaz dicekup selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di negeri ini.

Lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada pukul 4.50 petang 18 Julai lalu. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI