GEORGE TOWN – Seorang pemuda berdepan detik cemas hampir sejam apabila motosikal yang ditunggangnya seorang diri terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter di Jalan Bukit Jambul di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun itu ditemui dalam keadaan patah kaki kanan dan luka pada bahagian muka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat mangsa jatuh ke dalam longkang pada pukul 2.41 pagi.
Menurutnya, sebaik pasukan tiba di lokasi kejadian mendapati seorang mangsa yang terbabas dan jatuh di dalam longkang sedalam 10 kaki (tiga meter).
“Mangsa lelaki berumur 20 tahun itu mengalami patah kaki kanan dan luka pada bahagian muka.
“Tindakan anggota adalah mengangkat mangsa ke atas menggunakan strecher,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Beliau memberitahu, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan ambulans St. John untuk dibawa ke hospital dan operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 3.36 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE