JELI – Kegembiraan 26 pelajar Politeknik Jeli berkelah di kawasan air terjun Lata Goleng, Kampung Sungai Rual di sini semalam bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.
Mangsa, Wan Mohammad Syahid Wan Abdul Aziz, 20, lemas apabila terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama rakan-rakannya yang lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai pukul 4.43 petang semalam sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Operasi bagaimanapun terpaksa ditangguhkan dan disambung semula pada pukul 7 pagi tadi.
“Lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Machang dan Pengkalan Chepa turut menyertai operasi itu sebelum menemui mangsa pukul 10.40 pagi tadi.
“Mayat mangsa dijumpai pada dasar sungai sejauh 7.5 kilometer dari lokasi dia terjatuh,” katanya.
Menurut Mohd. Adni, mangsa dipercayai dibawa arus deras dan paras air sungai turut naik mendadak selepas hujan lebat malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE