PETALING JAYA – Selepas lebih 10 tahun tidak berkunjung ke Malaysia, pusara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Saloma menjadi lokasi pertama yang dijejaki komposer dan penyanyi terkenal Indonesia, Melly Goeslaw sebaik tiba di Kuala Lumpur petang tadi.
Melly, 48, bersama suaminya, Anto Hoed menerusi Instagram menjelaskan, sudah lama dia menyimpan hasrat untuk menziarahi pusara seniman agung itu, namun baru kini mempunyai kesempatan.
“Hari ini saya tiba di Kuala Lumpur untuk persiapan berjumpa media esok. Saat tiba tadi kami terus menziarahi ke pusara P. Ramlee dan Saloma.
“Saya turut berkesempatan berjumpa dengan cucu Saloma dan baru tahu juga ternyata P. Ramlee memiliki darah keturunan Aceh,” ujar Melly.
Menurut Melly atau nama sebenarnya Melliana Cessy Goeslaw, dia melihat P. Ramlee sebagai seorang tokoh seni yang genius.
“Terlalu kagum saya dengan tahap genius karya-karyanya dan kisah semasa hidupnya memberi inspirasi saya dalam berkarya.
“Meskipun tidak pernah kenal secara langsung, tetapi punya energi yang sama dalam mencipta sebuah karya.
“Saya menginginkan karya-karya ini kelak boleh dikenang sebagai sesuatu yang indah dalam kehidupan, selamanya. Al-Fatihah,” tulis Melly dalam Instagramnya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Jika itu tiba di Kuala Lumpur bagi menghadiri sebuah sidang akhbar Ada Apa Dengan Melly? yang dijadual berlangsung di sebuah hotel di ibu kota esok.
Difahamkan ratu runut bunyi Indonesia itu bakal mengadakan konsert di Malaysia sempena 30 tahun karier muziknya. – KOSMO! ONLINE