fbpx

Mahkamah: Tahanan salah di Padang Merbok, Badan Peguam saman polis, kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia serta empat pemegang jawatannya telah memfailkan saman terhadap pasukan polis dan Kerajaan Malaysia kerana didakwa melanggar kewajipan berkanun ketika menghalang acara `Walk for Judicial Independence’ (WFJI) di ibu negara pada Jun lalu.

Yang Dipertua badan itu Karen Cheah, Naib Yang Dipertua Ezri Abdul Wahab, Setiausaha Anand Raj dan Bendahari Murshidah Mustafa mendakwa polis melanggar peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan mengenakan syarat yang menyalahi undang-undang.

Acara yang dianjurkan Badan Peguam pada 17 Jun lalu bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung dakwaan ugutan terhadap badan kehakiman, khususnya melalui siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Badan itu juga meminta beberapa pengisytiharan mahkamah yang lain, antaranya bahawa pihak berkuasa melanggar hak asasi untuk berhimpun secara aman.

Acara itu diadakan selepas Karen meluluskan suatu resolusi untuk mengadakan suatu perhimpunan aman dan perarakan bagi meluahkan bantahan ahli-ahli badan itu terhadap tindakan SPRM yang mengumumkan secara terbuka siasatan yang dijalankan ke atas Hakim Mohd. Nazlan.

Dianggarkan seramai 500 orang peguam berkumpul di Padang Merbok untuk berarak ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan agar menegakkan kebebasan kehakiman.

“Polis mempunyai kewajipan untuk memudahkan perhimpunan selepas dimaklumkan mengikut Akta Perhimpunan Aman tetapi sebaliknya, mereka menghalang acara tersebut,” kata mereka dalam pernyataan tuntutan.

Mereka menamakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, pegawai polis Nuzulan Din, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Menurut Badan Peguam, polis didakwa melanggar hak perlembagaan mereka dengan menghentikan acara tersebut dan `menahan (mereka) secara salah’ hampir 40 minit.

Mereka juga mendakwa telah dihalang daripada meninggalkan tempat letak kenderaan di Padang Merbok.

“Bilangan pegawai polis melebihi jumlah plaintif dan mereka membentuk rantaian manusia bagi menghalang plaintif meninggalkan tempat letak kenderaan.

“Mereka turut menghalang plaintif dan peserta daripada bergerak ke mana-mana dan, akibatnya, plaintif dan peserta ‘terkurung’ di tempat letak kenderaan itu,” kata mereka.

Ketika itu, terdapat kira-kira 200 ke 300 ahli Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertopi keledar merah yang telah ditempatkan di sekitar Jalan Parlimen di bawah arahan dan/atau kawalan defendan.

Ahli Badan Peguam telah berunding dengan polis di tempat kejadian tetapi perbincangan gagal selepas pihak berkuasa berkata hanya 20 peguam dibenarkan berarak ke bangunan Parlimen, syarat yang ditolak oleh Badan Peguam.

Peguam terbabit cuba meneruskan perarakan namun gagal melepasi halangan polis di bahagian hujung tempat letak kenderaan itu.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) ketika itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kemudiannya tiba di lokasi dan menerima memorandum daripada Karen.

Memorandum itu bertajuk `Mendukung dan Melindungi Kebebasan Badan Kehakiman dan Mengekalkan Keyakinan Umum Terhadap Badan
Kehakiman’.

Beliau memaklumkan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta RM19,949 sebagai ganti rugi khas, iaitu kos yang dibelanjakan oleh Badan Peguam untuk mencetak plakad, sepanduk, topi, butang, lencana dan lain-lain.

Mahkamah Tinggi menetapkan 12 Januari depan untuk pengurusan kes seterusnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI