fbpx

Ketegasan Qatar bikin LGBTQ longlai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Jerman menutup mulut sebagai tanda protes ke atas Qatar yang menolak LGBTQ.

Kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar penuh kontroversi lantaran reaksi negatif Barat khususnya pihak media kerana dikatakan tidak mesra terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LBGTQ), manakala akronim tersebut kelak, akan lebih panjang termasuk kumpulan aseksual, interseks dan lain-lain lagi.

Media Barat juga mencemuh Doha kerana tidak membenarkan pesta alkohol. Meskipun diberitahu jauh lebih awal tentang larangan berkelakuan sumbang, berkempen atau mempamerkan elemen LGBT di khalayak ramai, media dan masyarakat Barat tidak berpuas hati dan tidak dapat menerima peraturan Qatar.

Bahkan, negara tuan rumah itu pula dikritik, dicerca selain didesak supaya melakukan penyesuaian demi akomodasi LGBTQ.

Penulis hanya membaca liputan negatif tentang negara tuan rumah berhubung penganjuran sukan paling popular itu. Antaranya kecaman kerana wartawan dan peminat dilarang masuk ke stadium disebabkan kedegilan memakai topi dan baju pelangi. Penempatan untuk peminat bola sepak pula sempit, malah pendingin hawa di stadium juga dikritik Barat kerana terlalu sejuk.

Media Barat terutamanya Britain cuba mengalihkan tumpuan orang ramai kepada isu Qatar tidak menghormati hak LGBTQ. Beberapa pasukan bola sepak Eropah turut memakai kain lilit lengan pelangi sebagai sokongan kepada golongan tersebut.

Perbezaan budaya Barat dan Qatar sudah nyata lagi tersuluh kepada media Barat. Apa yang jelik adalah perbuatan ‘memaksa’ negara yang mana majoriti rakyatnya beragama Islam menerima budaya LGBTQ.

Budaya Barat mengagungkan hak individu. Media di Asia jarang sekali menjadikan sukan anjuran negara-negara Barat sebagai peluang untuk ‘membelasah’ budaya mereka. Contohnya, obsesi masyarakat Amerika Syarikat (AS) dengan senjata api. Walaupun berulang kali insiden amukan senjata api berlaku dan banyak nyawa melayang yang pada hemat penulis, dapat dicegah dengan mengetatkan pemilikan senjata api, penulis akur bahawa cuma rakyat AS yang faham tentang budaya pemilikan senjata api mereka. Malah, ciri itu unik kepada AS.

Begitu juga aspek LGBTQ. Berdasarkan beberapa kajian baharu, bilangan kelompok tersebut di Barat dan seluruh dunia dipercayai lebih 10 peratus daripada populasi global. Ia bermaksud jika penduduk dunia pada tahun ini mencecah 8 bilion, hampir satu bilion adalah LGBTQ,

Kaji selidik di AS pula menyatakan bahawa lebih 70 peratus LGBTQ terdiri daripada generasi milenial. Malah, wanita transgender juga suatu hari nanti akan dibenarkan bertanding acara sukan kategori wanita seperti angkat berat, renang dan banyak lagi.

Barat boleh menjadi seberapa LGBTQ yang mereka mahu, namun jangan memaksa budaya tersebut ke atas negara lain. Ini juga sebahagian prinsip kebebasan yang Barat sendiri perjuangkan.

Selain beberapa isu yang timbul, Qatar berjaya sebagai penganjur Piala Dunia. Tiada tragedi rempuhan seperti di Kanjuruhan berlaku, juga tiada insiden pergaduhan antara penyokong bola sepak berbilang negara dan tiada penyokong yang mabuk serta mengganggu ketenteraman awam. Apa lagi yang Barat mahukan!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI