fbpx

Kerajaan perpaduan, fenomena politik istimewa – Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTHONY Loke Siew Fook ketika berbahas pada hari kedua Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di Seremban hari ini.-Foto ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Pembentukan sebuah kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu disifatkan sebagai satu fenomena politik cukup istimewa.

Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) berkata, keadaan tersebut berlaku selepas tidak ada satu pun gabungan parti yang mendapat cukup majoriti 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

“Pada PRU15 ini, ia merupakan satu keadaan sangat istimewa di mana tidak ada parti yang menang dan sejak malam 19 November sehingga 24 November lalu, pelbagai rundingan dan perbincangan pasca PRU15 berlangsung.

“Tetapi apa yg perlu kita perlu raikan dan boleh banggakan iaitu proses pembentukan kerajaan ini telah pun dijalankan dengan berhemah dan tidak menimbulkan apa-apa masalah pada kehidupan rakyat. Memang ada berlaku sedikit ketegangan politik dalam tempoh tersebut kerana masing-masing tidak tahu apa yang berlaku dan terdapat banyak perbincangan dan rundingan berlaku di sebalik tadbir.

“Apa yang kita boleh banggakan adalah, semua bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan di Malaysia dan kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini adalah saranan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melihat sebuah kerajaan, jadi landskap politik di peringkat perpaduan amat berbeza pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan hari kedua Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.

Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkata lagi, pembentukan kerajaan perpaduan hari ini adalah merupakan gabungan daripada beberapa gabungan parti yang lain iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Jadi, ia merupakan satu fenomena dan landskap politik yang baharu bukan sahaja di peringkat Persekutuan malah dua negeri iaitu Pahang dan Perak turut membentuk kerajaan perpaduan.

“Kita sedang memasuki satu fasa politik yang cukup berlainan, apa yang kita perlu lihat adalah menjalani politik permuafakatan, politik perpaduan di mana mementingkan kerjasama politik merentas parti untuk memastikan perjalanan negeri dan negara kita dengan baik dan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Belanjawan 2023 Negeri Sembilan dengan defisit berjumlah RM100 juta diyakini boleh ditampung oleh kerajaan Negeri Sembilan melalui lebihan atau rizab daripada wang disatukan.

“Saya melihat pencapaian di Negeri Sembilan sejak empat tahun enam bulan ini agak memberangsangkan. Ada peningkatan yang baik daripada segi prestasi kutipan hasil rizab kumpulan wang disatukan, indikator-indikator itu menunjukkan ada pencapaian yang boleh kita banggakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI