fbpx

Ismail Sabri nafi dakwaan RM620 bilion tidak direkod dalam akaun kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan RM620 bilion tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022, seperti didakwa seorang pengguna laman sosial.

Beliau menegaskan, dakwaan tersebut tidak benar selain menjelaskan nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion.

“Berhubung komen bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022, saya ingin menegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar.

“Kesemua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

“Nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion di mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank),” katanya pada hantaran itu.

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telah diluluskan Parlimen sebulat suara.

Menerusi komen daripada seorang pengguna laman sosial, individu tersebut mendakwa RM620 bilion tidak direkod dalam akaun perbendaharaan untuk 2020 hingga 2022 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.

Individu itu mendakwa, atas sebab itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri tidak mahu orang lain menjadi Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI