TEHERAN – Anak saudara Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei ditahan selepas menggesa kerajaan-kerajaan seluruh dunia agar memutuskan hubungan dengan Teheran, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Farideh Moradkhani diberkas Rabu lalu selepas dia pergi ke pejabat pendakwa raya kerana mendapat arahan daripada mahkamah, demikian menurut ciapan saudara lelakinya, Mahmoud Moradkhani di laman Twitter.
Dalam video dikongsikan Mahmoud dan dirakam sebelum penangkapannya, Farideh mengajak masyarakat di seluruh dunia supaya menggesa kerajaan masing-masing memutuskan hubungan dengan Teheran ketika protes di seluruh Iran berlanjutan.
“Wahai penduduk dunia yang bebas, berdirilah bersama kami dan beritahu kerajaan anda agar berhenti menyokong rejim yang membunuh kanak-kanak dan rakyatnya. Rejim ini tidak setia kepada mana-mana pegangan agamanya serta tidak mematuhi mana-mana peraturan dan undang-undang selain hanya mahu mengekalkan kuasa walau dengan apa acara sekali pun,” katanya.
Tambah Farideh, rakyat Iran akan ‘berperang’ dengan mana-mana kerajaan yang menyokong rejim pemerintahan Teheran serta menggesa negara-negara demokrasi agar memanggil pulang duta masing-masing dari negara itu.
Dia turut mendesak supaya duta-duta Iran dihalau keluar dari negara-negara lain.
“Apa yang benar-benar diperlukan sekarang adalah jangan menyokong rejim ini yang telah membunuh beribu-ribu rakyat Iran selama empat hari pada November 2019 di mana masyarakat dunia hanya memerhati ketika itu,” ujarnya.
Farideh dan Mahmoud merupakan anak kepada arwah Ali Tehrani, seorang ulama dan tokoh parti pembangkang yang berkahwin dengan saudara perempuan Khamenei, Badri Hosseini Khamenei.
Dia meninggal dunia pada bulan lepas. – Agensi