ROMPIN – Dakwaan Pas akan ‘membunuh’ UMNO sekiranya kerjasama antara dua parti itu dilakukan adalah tidak benar dan mengarut.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sejarah membuktikan Pas banyak membantu UMNO sebaliknya DAP yang akan menelan UMNO sepertimana PAP menelan UMNO di Singapura.
“Mana kata Pas nak bunuh UMNO, siapa yang bunuh UMNO di Singapura ? PAP bukan Pas.
“Masa Singapura dulu tahun 50-an UMNO menang di Singapura, Lee Kuan Yew buat parti PAP ambil orang Melayu letak di depan macam sekarang letak Anwar di depan.
“Yusof Ishak letak di hadapan, letak menteri-menteri Melayu di hadapan, lepas itu UMNO ditelan, habis UMNO di Singapura oleh PAP,”katanya dalam ceramah umum Pilihan Raya Umum (DUN) Tioman di Kampung Mentara, Pianggu di sini malam semalam.
Menurut Abdul Hadi apabila PAP masuk ke Semenanjung Malaysia, cawangan parti itu ditukarkan kepada DAP yang berasaskan perjuangan PAP sehingga Tuanku Abdul Rahman mengambil keputusan mengeluarkan Singapura daripada Malaysia.
Justeru katanya, UMNO harus sedar percaturan yang dibuat mereka dengan bekerjsama dengan DAP akan merugikan orang Melayu dan Islam.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Kerajaan Perpaduan beliau berkata, Pas menolak kerana gabungan itu didominasi pemimpin bukan Islam terutamanya DAP.
“Yang dominasi sekarang adalah DAP bukan Islam, Dalam PKR sebahagiannya sahaja ISlam dalam 30 kerusi dimenangi mereka, sebahagian lagi bukan Islam. DAP pula meraih 40 kerusi,”katanya.
Sementara itu beliau berkata, meskipun Pas pernah bekerjasa dengan DAP sebelum ini tetapi Pas menolak kerjasama kali ini kerana DAP menentang perjuangan Islam yang dibawa Pas.
Beliau memberitahu antara penentangan dilakukan DAP termasuklah menghalang dan mengkritik usaha Pas untuk mengharamkan arak di negara ini.
“Ada orang kata mengapa dulu Pas berkawan dengan DAP, dulu kita berkawan dengan DAP tahaluf siyasi membolehkan menentang kezaliman, penyelewengan
tetapi DAP menentang Islam menentang dasar-dasar kita, menentang perjuangan kita,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE