LINCOLN, NEBRASKA – Negeri Nebraska merekodkan kes selesema burung ke-13 tahun ini yang berlaku di sebuah ladang ternakan di daerah Dixon dengan kira-kira 1.8 juta ayam perlu dihapuskan, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Ia merupakan kes selesema burung kedua di daerah tersebut tahun ini.
Jabatan Pertanian Nebraska (NDA) melaporkan, kes terbaharu itu dikesan di sebuah ladang ayam telur di timur laut negeri tersebut.
Jabatan itu akan mewujudkan zon kawalan dalam radius 9.9 kilometer sebagai langkah untuk menghentikan atau mencegah penularan selesema burung.
Zon kawalan itu akan disusuli langkah pelupusan haiwan ternakan tersebut. Kaedah pelupusan masih belum diumumkan namun, cara yang digunakan sebelum ini termasuk pembakaran, pengkomposan dan penanaman bangkai ayam.
Influenza unggas yang sangat patogenik atau lebih dikenali sebagai selesema burung, telah menyebabkan lebih 50.54 juta ayam dan ternakan lain mati tahun ini.
Menurut stesen penyiaran Bloomberg, ia merupakan penularan terburuk di seluruh AS dalam sejarah. Rekod sebelum ini adalah sebanyak 50.5 juta unggas dibunuh pada 2015.
Sebanyak 6.8 juta unggas telah diarah dihapuskan di Nebraska setakat ini, jumlah kedua tertinggi bagi negeri-negeri di AS di belakang Iowa dengan 15.5 juta haiwan itu dibunuh.
Gejala selesema burung termasuk unggas enggan minum air seperti biasa, hilang tenaga dan selera makan, kulit telur yang nipis atau bentuk yang aneh serta kematian mengejut. – Agensi