JAKARTA – Seorang wartawan wanita program berita Fox Sports menjadi sasaran kecaman netizen selepas mengkritik proses pemeriksaan keselamatan di Piala Dunia Qatar yang mengasingkan antara penonton lelaki dan wanita, lapor program berita Liputan6 semalam.
Jenny Taft yang membuat liputan acara bola sepak di Doha itu sebelum itu berkongsi pengalamannya bertugas pada kejohanan tersebut.
Menurut laman berita Middle East Eye, Taft memasuki Stadium Al Rayyan melalui pintu keselamatan khusus untuk wanita ketika membuat liputan perlawanan pasukan Amerika Syarikat (AS) menentang Wales minggu lalu.
“Saya perlu melalui pos pemeriksaan keselamatan yang dikhususkan untuk wanita sahaja. Entah bagaimana saya tidak merasa hebat mengenainya,” kata Taft dalam video yang dikongsikan.
Video tersebut menjadi tular dengan ramai netizen mengkritik tindakan Taft yang dianggap tidak sopan dan tidak menghormati Qatar selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.
“Keimanan mereka, keimanan kepada agama mereka. Seorang wanita tidak ingin badannya diperiksa oleh seorang lelaki, manakala seorang lelaki juga tidak mahu diperiksa oleh seorang (pengawal) wanita.
“Jenny, sila berhati-hati dan jaga sikap berat sebelah dan curiga anda,” kata seorang wartawan wanita dari Qatar, Lama. – AGENSI