LONDON – Usia persaraan di Britain apabila orang ramai mula menerima wang pencen berkemungkinan dinaikkan kepada 68 tahun, beberapa tahun lebih awal daripada jangkaan, lapor laman berita Mirror.UK. kelmarin.
Usia persaraan akan meningkat kepada 67 tahun menjelang 2028 dan 68 tahun menjelang 2039.
Menteri-menteri Britain bagaimanapun, dipercayai sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan usia persaraan 68 tahun itu pada pertengahan tahun 2030-an.
Mereka yang kini dalam lingkungan usia pertengahan 50-an mungkin perlu menunggu lebih lama sebelum dapat menerima pencen, demikian menurut laporan akhbar The Telegraph.
Perbincangan mengenai had umur persaraan baru-baru ini disegerakan oleh kerajaan tetapi tiada keputusan muktamad dibuat.
Sebelum ini, beberapa Perdana Menteri Britain telah mempertimbangkan supaya usia persaraan 68 tahun diperkenalkan lebih awal daripada 2039.
Bekas setiausaha pencen, Steve Webb berkata: “Adalah menarik bagi Perbendaharaan untuk melihat kenaikan usia pencen sebagai ‘wang mudah’ untuk kerajaan, dengan berpuluh-puluh bilion pound simpanan tersedia.”
“Jika usia pencen dinaikkan, kita berisiko melihat beribu-ribu orang menghabiskan tahun-tahun terakhir dalam kehidupan bekerja menggunakan pembiayaan elaun sosial kerajaan kerana kesihatan mereka tidak cukup baik untuk memastikan mereka dapat terus bekerja sehingga lewat usia 60-an.
“Di beberapa kawasan kurang berkemampuan di Britain, menjadi perkara biasa untuk orang ramai berada dalam keadaan kesihatan yang tidak baik satu dekad sebelum mereka mencecah usia pencen semasa.
“Sebelum umur pencen dinaikkan lagi, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menangani ketidaksamaan yang besar di seluruh negara dari sudut kesihatan dan purata jangka hayat,” katanya.
Keputusan semakan semula usia persaraan itu dijangka diterbitkan pada awal 2023. – Agensi