BAGI menyebarkan ilmu pertanian dalam kalangan masyarakat setempat, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menubuhkan Pusat Pengembangan Pertanian Bandar Fakulti Pertanian di Pangsapuri Awam Seri Perlis 2, Kampung Datok Keramat, Kuala Lumpur.
Pembangunan pusat itu adalah selari dengan misi UPM untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembentukan kemakmuran dan pembangunan negara serta kesejahteraan manusia sejagat menerusi penyebaran ilmu.
Jaringan komuniti tersebut bersama Fakulti Pertanian, UPM bermula sejak 2018 menerusi kursus, aktiviti dan khidmat nasihat bagi meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran masyarakat dalam memperkasakan pertanian bandar.
Ketua Pusat Pengembangan Pertanian Bandar Fakulti Pertanian, Dr. Juju Nakasha Jaafar berkata, sumbangan tenaga pakar kepada masyarakat amat penting bagi pembangunan negara kerana peningkatan arus kemodenan perlu seiring dengan kemajuan komuniti.
Katanya lagi, komuniti yang berilmu akan menjadikan sesebuah negara tersebut ke tahap lebih tinggi.
“Fakulti Pertanian juga telah mula menghantar pelajar-pelajar ke Pangsapuri Awam Seri Perlis 2 ini sejak tahun 2018 sehingga sekarang melalui program Sulam.
“Contohnya, komuniti di sini telah menerima seramai 80 orang pelajar Fakulti Pertanian pada tahun 2019 untuk membuat program pertukaran ilmu selama tiga hari dua malam.
“Pelajar-pelajar ditempatkan di rumah komuniti dan mereka dapat mempelajari ilmu kemasyarakatan dan pertanian bandar dalam keadaan sebenar bersama-sama komuniti.
“Ketika pandemik lepas, jaringan Fakulti Pertanian diteruskan secara maya antara komuniti dan pelajar. Ini telah membuktikan kerjasama yang sangat erat kedua-dua pihak iaitu universiti dan komuniti,” katanya kepada iGen.
Pusat Pengembangan Pertanian Bandar Fakulti Pertanian itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Norison Ramli pada 9 November lalu
Antara perkhidmatan yang diberikan oleh pusat tersebut adalah lawatan sambil belajar, khidmat nasihat dan kursus tentang pertanian bandar kepada komuniti.
Turut dijalankan adalah latihan pertanian bandar yang diberikan di pusat tersebut seperti latihan fertigasi, hidroponik, tanaman atas batas, penyelenggaraan tanaman dan lain-lain berkaitan dengan pertanian bandar.
Menariknya, pusat itu turut menjadi tapak latihan kepada pelajar-pelajar di Fakulti Pertanian untuk mendapatkan pengalaman dalam keadaan sebenar.
Menurutnya lagi, penglibatan pelajar bersama komuniti dilihat dapat meningkatkan kemahiran insaniah seperti berkomunikasi, keusahawanan dan kepimpinan.
Hasil kerjasama yang sangat kuat itu UPM telah mengiktiraf Pangsapuri Awam Seri Perlis 2 sebagai Rakan Komuniti Terbaik 2020 di dalam Majlis Apresiasi Industri dan Komuniti UPM.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UPM, Prof. Ir. Dr. B.T Hang Tuah Baharudin berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi mahupun komuniti yang memerlukan khidmat kepakaran UPM.
“Penubuhan Pusat Pengembangan Pertanian Bandar Fakulti Pertanian telah menyumbang terhadap pencapaian matlamat ini, seterusnya memberi nilai tambah kepada penjajaran UPM kepada masyarakat.
“Saya percaya bahawa manfaat kewujudan universiti ini hanya dihargai apabila warga kampus turun padang mendampingi masyarakat.
“Saya percaya dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta sinergi berterusan ia mampu membuahkan hasil murni dan lestari,” ujarnya.